Wednesday, August 15, 2012

Berjalan Sambil Memesong

Suatu hari Imam Hanafi sedang berjalan bersama Imam Sufyan bin Ibrahim. Setelah sampai di pertengahan perjalanan, muncul seorang lelaki berjalan ke arah bertentangan. Tiba-tiba lelaki itu memesong ke sebelah dan berjalan senget. Anehnya lagi lelaki itu menutup mukanya sebaik terpandang Imam Hanafi. Imam Hanafi yang melihat gelagat lelaki tersebut merasa pelik dan hairan.

"Hai saudara! Berjalanlah dengan betul, tak perlu memesong-mesong." tegur Imam Hanafi.

Lelaki tersebut meneruskan perjalanan dengan betul akan tetapi dia berjalan dengan menundukkan wajahnya ke tanah seakan-akan takut kalau terpandang orang di hadapannya. "Mengapa engkau berjalan dengan pelik-pelik seperti ini? Memesong-mesong sambil menutup muka selepas itu menunduk-nunduk lagi?"

Dengan gugup dan gementar orang itu menjawab. "Saya berasa malu untuk berjumpa tuan Imam, kerana saya masih punya hutang kepada tuan sebanyak 10, 000 dirham."

"Subhanallah." kata Imam Hanafi. "Hanya kerana hutang itu sahaja, sampai begitu sikapmu? Berjalan memesong-mesong, menutup muka dan menunduk-nunduk. Apakah engkau takut memandang mukaku? Kalau begitu semua hutangmu itu aku ikhlaskan. Engkau tidak perlu menjelaskannya lagi."

Orang itu sangat gembira bercampur terharu. Diangkatnya sedikit-sedikit wajahnya yang telah basah dengan air peluh itu.

"Mulai sekarang aku harap engkau berjalan dengan betul dan tidak perlu takut berjumpa denganku." pesan Imam Hanafi.


p/s Selamat Hari Raya Aidilfitri

Sunday, August 12, 2012

Ganjaran Buat Si Pendengki (Part II)

Sementara si pendengki mengintai-intai dari jauh untuk mengetahui hukuman yang dijatuhkan raja kepada orang yang didengkinya itu. Ternyata dia tidak dihukum. Malah sebaliknya, dia diberi kepercayaan untuk menghantar surat penting kerajaan kepada seorang pegawai kerajaan. Si pendengki bertambah irihati.

"Surat apa itu?" tanya si pendengki.

"Surat raja, disuruh hantarkan kepada si fulan."

"Berikan kepadaku, agar aku yang menghantarnya." pinta si pendengki.

"Mana boleh, ini diamanatkan kepadaku."

Si lelaki pendengki memaksanya juga dengan berbagai alasan. Dia berbuat demikian agar dirinya dianggap sebagai orang yang dekat dengan raja sehingga diberi kepercayaan menghantarkan surat rahsia kerajaan.

Dengan terpaksa, lelaki alim itu menyerahkan surat yang diamanahkan kepadanya kepada yang memintanya. Pergilah lelaki pendengki itu membawa surat raja dengan bangganya ke alamat yang dituju.

"Fulan! ini ada surat penting untukmu." katanya sebaik saja sampai ke alamat yang dituju.

"Dari siapa?"

"Dari rajalah. Tengok ini, baginda sendiri yang menulis dengan tangannya." kata lelaki itu dengan bangganya.

Surat itu terus dibuka oleh si penerima dan dibacanya di dalam hati : "Sebaik saja surat ini selesai kau baca, maka bunuhlah si pembawanya. Lapah kulitnya dan hantar kepadaku!"

"Baik, bersiap sedialah engkau." kata si penerima surat kepada si pembawa.

"Ada apa?"

"Raja memerintahkan agar aku membunuh engkau sekarang juga."

Lelaki itu terkejut luar biasa lalu berkata: "Tidak! Tidak! Bukan aku yang engkau maksudkan, tapi si....."

"Tidak boleh, engkau mesti kubunuh, kerana engkaulah yang membawa surat ini. Cuba baca ini!"

"Sabar dahulu. Aku akan menghadap raja, kerana pada mulanya bukan aku yang membawa surat itu." kata si pendengki sambil mengajukan berbagai alasan.

"Perintah raja tidak boleh ditangguh-tangguhkan. Sudahlah sekarang bersiap sedia."

Rayuan demi rayuan si pembawa surat tidak didengarkan lagi. Dia pun dipancung sehingga mati akibat perbuatan dengkinya sendiri.

Sementara lelaki alim datang menghadap raja dan menceritakan bahawa suratnya telah diminta oleh si fulan dan dihantarkannya ke alamat yang dituju. Raja kebingungan mengenangkan nasib orang yang membawa suratnya.

"Betulkah engkau pernah mengatakan bahawa mulutku berbau busuk?" tanya raja.

"Tidak pernah tuanku. Aku berani bersumpah."

"Mengapa engkau menutup hidung ketika bercakap denganku semalam?"

Si lelaki alim menerangkan sebab-sebabnya dengan jelas. Setelah raja memahaminya, dia hanya menggeleng-gelengkan kepala.

"Kalau begitu padanlah padanlah, dia yang menerima balasan." kata raja.

Thursday, August 9, 2012

Ganjaran Buat Si Pendengki (Part I)

Zaman dahulu ada seorang alim yang baik hubungannya dengan raja. Dia sentiasa berada di sisi raja. Dia sentiasa berada di sisi raja kerana memberikan nasihat, dan raja suka kepadanya. Keadaan ini menyebabkan seorang lelaki lain yang ingin bermuka-muka dengan raja kerana dengki dan irihati. Lalu dicarinya jalan untuk membinasakan lelaki alim tersebut.

Suatu hari lelaki pendengki itu pergi kepada raja dan mengatakan bahawa lelaki alim yang sering memberikan nasihat telah mengumpatnya.

"Mengumpat bagaimana?" tanya Raja.

"Dia berkata baha mulut tuan berbau busuk."

"Hei..betulkah cakapmu itu?" tanya Raja.

"Betul tuanku. Kalau tidak percaya, cuba lihat pabila dia menghadap tuanku, pasti dia menutup hidung dan mulutnya kerana takut tercium bau busuk."

Baiklah, kalau begitu engkau boleh pergi. Aku akan melihatnya sendiri."

Lelaki pendengki itu segera pulang ke rumahnya dan memasak makanan yang sangat banyak mengandungi bawang dicampur petai sehingga sesiapa yang memakannya, mulutnya akan berbau serta merta. Setelah masak, dia menjemput lelaki itu ke rumahnya untuk jamuan makan. Tanpa menaruh sebarang kecurigaan lelaki alim itu makan sebagaimana biasa sehingga selesai.

Tiba-tiba datang urusan raja memanggil si lelaki alim agar datang menghadap ke istana ketika itu juga.

Maka pergilah lelaki alim itu ke istana dalam keadaan mulut berbau kerana baru sahaja memakan makanan yang sengaja dibuat bau oleh temannya. Dia menyedari akan hal itu.

"Rapatlah kepadaku." kata raja.

Sebagaimana biasa, lelaki itupun rapat kepada raja. Namun kali ini dia menutup mulutnya kerana menyedari mulutnya masih berbau dan khuatir raja tercium baunya. Melihat ini, raja percaya bahawa apa yang dikatakan oleh lelaki yang membuat laporan itu betul.

Tanpa bercakap lagi, raja mengambil sekeping kertas dan menulis surat. Selesai menulis, surat itu dimasukkan ke dalam sampul surat tertutup dan diluarnya ditulis. "SULIT. RAHSIA KERAJAAN", kemudian diberikannya kepada si lelaki alim.

"Tolong hantarkan surat ini kepada si Fulan dan tunggu jawapannya sekejap." kata raja.

"Baik tuanku." jawab si lelaki lalu pergi.

Monday, July 9, 2012

Aku Datang Untuk Belajar

Ketika sedang menuntut ilmu, Abu Yazid mencurahkan sepenuh perhatiannya terhadap kitab yang dipelajarinya dan keterangan-keterangan gurunya. Siang berpuasa dan pada sebelah malamnya bangun bertahajud. Demikian dilakukannya sepanjang pengembaraannya selama tiga puluh tahun dari satu guru kepada guru yang lain sehingga jumlahnya mencapai 113 orang.

Suatu ketika beliau belajar di bawah asuhan seorang guru yang juga ahli sufi terkenal bernama Sadiq. Di situlah Abu Yazid lebih menumpukan penglihatan dan pendengarannya hanya pada pelajaran, sehingga tidak tahu akan hal-hal sekelilingnya. Suatu hari Tuan Guru Sadiq menyuruh Abu Yazid untuk mengerjakan sesuatu.

"Hai Abu Yazid! Tolong ambilkan buku saya." kata Tuan Guru Sadiq.

"Di mana?" tanya Abu Yazid

"Di tingkap." jawab Sadiq.

"Tingkap yang mana?" tanya Abu Yazid lagi.

"Tingkap yang itu, mana ada tingkap lagi."

"Aku tidak tahu." kata Abu Yazid.

"Masya Allah! Kamu belajar dan tinggal di sini sudah bertahun-tahun, takkanlah tak tahu tingkap."

"Tidak. Aku datang ke sini untuk belajar kepadamu, bukan untuk melihat tingkap dan lain-lain yang ada di sini. Selama ini mata dan pendengaranku tertutup pada hal-hal lain selain pada pelajaran yang engkau terangkan."

Mendengar jawapan itu tahulah Tuan Guru Sadiq bahawa muridnya itu telah mencapai taraf tinggi kerohaniannya dan telah berhasil apa yang dipelajarinya. Maka berkatalah Sadiq kepada Abu Yazid: "Kalau demikian, pelajaranmu telah selesai, maka kembalilah engkau ke Bustam."

Thursday, June 28, 2012

Menggunakan Khidmat Syaitan

Di Palestin ada seorang lelaki yang dikenal oleh kaumnya sebagai orang yang bertaqwa kerana rajin mengerjakan ibadah. Dia juga dikenal sebagai orang yang mempunyai kekeramatan kerana sering berulang alik ke Mekkah dalam masa yang sekejap. Orang ramai dapat membuktikan kekeramatannya apabila musim haji. Lelaki ini sering berulang alik ke Mekkah dan membawa surat-surat orang yang sedang mengerjakan haji di Mekkah kepada keluarganya di Palestin dan sebaliknya. Semua terbukti kebenarannya.

Apabila ajalnya sudah dekat, lelaki keramat itu berkata kepada anaknya: "Wahai anakku!Nanti pada malam kematianku akan datang seekor unta yang boleh engkau gunakan untuk berulang alik ke Mekkah dalam masa sekejap. Unta itulah yang telah berkhidmat kepadaku selama ini."

Setelah lelaki itu mati, unta yang dijanjikan pun datang. Anaknya segera naik dan dibawanya berjalan. Dalam masa sekejap sahaja sudah berada jauh dari rumahnya. Di tengah perjalanan, tiba-tiba unta itu berhenti dan berkata:

"Aku ingin bercakap denganmu." kata unta itu.

"Cakap tentang apa?" tanya si anak kehairanan kerana baru kali ini berjumpa dengan unta yang boleh bercakap.

"Aku ini bukan unta yang sebenar, tapi syaitan."

"Syaitan?" tanya si anak ketakutan.

"Ya, aku syaitan yang telah disembah oleh ayahmu semasa hidupnya. Maka sebagai ganjarannya, aku telah membawa ke mana sahaja dia mahu dalam masa sekejap. jadi kalau engkau ingin aku bawa ke MEkkah dan Arafah, engkau mesti mahu menyembahku juga." kata syaitan itu.

"Tidak, sesekali aku tidak akan menyembahmu. Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk."

"Kalau engkau tidak mahu, aku tinggalkan engkau terlantar di sini. Padan muka engkau." kata syaitan itu lalu pergi.

Maka tinggallah anak yang kuat imannya itu di padang pasir seorang diri, jauh dari manusia. Dengan bersusah payah dia berjalan di bawah panas mentari dan menahan haus dan lapar. Berkat pertolongan Allah, dia sampai juga kepada keluarganya dan menceritakan bahawa ayahnya dahulu bukanlah seorang yang bertaqwa dan mempunyai keramat seperti yang didakwakan oleh orang ramai.

"Sebenarnya dia adalah seorang penyembah syaitan, maka syaitanlah yang membawanya berulang alik ke Mekkah dalam masa yang singkat. Bukan keramat."

Friday, June 22, 2012

Aku Tidak Layak Memegang Jawatan

Sungguh aneh kehidupan orang aneh seperti Imam Hanafi, beliau meringkuk dalam penjara hanya kerana tidak mahu menerima jawatanpenting dalam kerajaan yang ditawarkan oleh Khalifah. Suatu hari beliau dikeluarkan dari penjara dan dibawa ke hadapan Khalifah untuk ditanya tentang jawatan yang ditawarkan kepadanya.

"Adakah engkau lebih suka berada dalam keadaan sedemikian? Engkau harus menerima jawatan ini." kata Khalifah menawarkan jawatan hakim kepada Imam Hanafi.

"Semoga Allah memperbaiki Khalifah. Wahai Khalifah! Takutlah engkau kepada Allah, jangan engkau bersubahat dengan kepercayaan orang-orang yang tidak takut kepada Allah. Saya bukanlah orang yang boleh dipercaya di waktu tenang, maka bagaimana saya boleh dipercaya di waktu marah? Sesungguhnya saya tidak patut memegang jawatan hakim." jawab Imam Hanafi.

"Kamu bohong! Kerana kamu memang patut menerima jawatan itu." kata Khalifah dengan marah.

"Wahai Khalifah! Kamu sendiri telah menganggap saya pembohong. Maka bagaimana Khalifah akan menganggap seorang pembohong sebagai hakim?" tanya Imam Hanafi.

Khalifah bertambah marah, walau dia sendiri sedar bahawa kata-kata yang dikeluarkannya memakan diri sendiri. Maka sebagai jawapannya, Imam Hanafi dimasukkan lagi ke dalam penjara.

Monday, June 18, 2012

Taubat Si Tamak Bin Kedekut

Sebelum bertaubat dan menjadi sufi agung, Habib Al-Ajami adalah seorang yang sangat terkenal tamak harta di samping sangat kedekut. Dia mengumpulkan harta dengan jalan meminjamkan wangnya kepada sesiapa saja yang perlu wang dengan dikenakan bunga berlipat ganda. Setiap hari dia berjalan berpusing-pusing kota Basrah untuk menagih piutangnya ke rumah-rumah para penghutang. Adakalanya penghutang tidak dapat menjelaskan hutang serta bunganya pada masa yang ditetapkan. Kepada penghutang yang seperti ini, Al-Ajami akan meminta wang tambahan selain hutang dan bunga. Wang tambahan tersebut mesti dibayar ketika itu juga. Alasannya, sebagai ganti rugi kasut yang dipakainya kerana bertambah susut.

"Cuba kamu kira berapa batu aku berjalan dari rumah ke sini? Dengan demikian kasut yang ku pakai ini bertambah rosak dan nipis." kata Al-Ajami.

Suatu hari dia pergi menagih piutangnya ke rumah seorang penghutang, tapi orang tersebut belum punya wang langsung untuk menjelaskannya. Sampai pembayar wang susut kasut pun tiada. Al-Ajami sangat kecewa dan kesal kerana menganggap perjalanannya ke rumah tersebut sebagai membuang masa sahaja.

"Apakah engkau tidak mempunyai apa-apa sebagai pengganti penatku ini?" tanya Al-Ajami kepada si penghutang.

"Aku tidak punya apa-apa langsung." jawab si penghutang. Setelah berfikir seketika, si penghutang berkata lagi: "Owh.. Suamiku ada menyembelih kambing, dan masih ada sisa-sisa lehernya."

"Leher-leher pun jadilah." kata Al-Ajami. "Masaklah."

Dia berfikir akan membawa leher kambing itu pulang bila sudah mask nanti. Sementara si tuan rumah memasak, Al-Ajami menunggu di luar. Tiba-tiba datang seorang pengemis meminta sesuatu.

"Apalah kamu ini?" kata Al-Ajami. "Jika aku mahu memberikan kepadamu sesuatu yang aku miliki, engkau tidak akan menjadi kaya. Malah sebaliknya aku yang menjadi miskin. Elok kamu pergi dari sini!!"

Si pengemis sangat kecewa, lalu dia meminta sesuatu kepada tuan rumah. Kerana merasa kasihan, tuan rumah memberi sedikit makanan, lalu dibukanya daging yang sedang dimasaknya. Ternyata, ia sudah menjadi darah satu periuk. Dia sangat terkejut dan menangis sambil berkata: "MasyaAllah, Hai Ajami! Ini semua kekejamanmu terhadap pengemis dan ditambah lagi dengan perbuatan lintah daratmu!"

"Apahal kamu ini?" tanya Al-Ajami.

"Tengok itu, apa yang telah terjadi. Leher kambing yang dimasak untukmu telah menjadi darah." jawab si perempaun sambil menangis.

Al-Ajami terperanjat, lalu pergi melihat apa yang dikatakan si wanita. Apabila dilihatnya betul, dia menangis menyesali perbuatannya. Ketika itu juga dia bertaubat dengan sebenarnya. Dia berjalan sekeliling bandar sambil berteriak: "Siapa saja yang berhutang dengan ku, tidak perlu bayar. Aku telah menghalalkannya."

Setelah itu dibukanya pintu rumahnya lebar-lebar. Tempat penyimpanan emas dan wangnya dibuka juga. Kemudian diumumkan pula, sesiapa yang ingin mengambil hartanya, ambillah sesuka hatinya. Maka datanglah orang ramai berpusu-pusu mengambil wang dan apa sahaja yang berharga dari rumah Al-Ajami. Jadilah rumahnya seperti rumah terbuka istemewa. Setelah itu dia sendiri menjalani hidup kerohanian, bertaubat dan mengabdikan dirinya kepada Allah sepenuh masa.

Sunday, June 17, 2012

Majikan Yang Baik

Sebagai Khalifah, Al-Makmun mempunyai ramai pelayan yang bertugas di istananya. Suatu hari, beberapa orang kenamaan datang bertamu di Istana Al-Makmun. Para pelayan sibuk keluar masuk menyiapkan makanan. Ketika para tetamu itu sedang asyik menikmati hidangan, tiba-tiba Khalifah memanggil pelayannya kerana ada suatu keperluan.

"Ya ghulam...Ya ghulam!!"

Akan tetapi tiada seorang pelayan pun yang keluar. Maka sekali lagi Khalifah memanggil dengan suara yang lebih kuat.

"Ya ghulam...Ya ghulam!!"

Para pelayan tetap tidak menyahut panggilan tersebut. Khalifah hairan apa gerangan yang dibuat oleh para pelayannya sehingga tidak seorangpun menjawab panggilannya. Dia merasa kecewa dan marah kerana merasa malu kepada para tetamu.

 Tidak berapa lama kemudian, datang seorang pelayan dengan tergopoh-gapah dan tercungap-cungap sambil berkata:

"Wahai Khalifah! Kami ini adalah manusia sama seperti Khalifah juga. Bukannya malaikat. Baru saja masuk sudah dipanggil, makan baru sesuap sudah dipanggil. Apakah sebagai pelayan kami tidak boleh makan? Oleh kerana itu jangan panggil kami ikut suka hati Khalifah sahaja."

Mendengar rungutan itu, Khalifah Al-Makmun hanya diam sahaja. Sementara tetamunya sudah mengagak bahawa dia akan murka kerana diremehkan oleh pelayannya di hadapan tetamu agung. Untuk mengalih perhatian, Al-Makmun berkata:

"Begini saudara! Antara majikan dan pelayan itu memang terjadi sesuatu yang ganjil.Jika si majikan berperangai buruk, maka para pelayannya baik-baik belaka. Sebaliknya jika si majikan berbudi  baik, maka para pelayannya ramai yang berperangai buruk dan tidak sopan. Sebab itu, saya sangat bersyukur kepada Allah kerana semua pelayan saya ditakdirkan berperangai buruk. Sudah tentu hal ini merupakan salah satu tanda bahaawa saya diciptakan oleh Allah sebagai seorang yang berbudi baik. Alhamdulillah."

Para tetamu yang hadir hanya tersenym saja sambil melirik satu sama lain. Seakan akan mereka mahu berkata: "O...Ya, Khalifah kan memang orang yang baik."

Tuesday, December 27, 2011

Kencing Ajaib Sebagai Penebus

Seorang pembesar kerajaan bernama Muhammad bin Qalawan akan dihukum pancung oleh Sultan Muhammad Al-Ayubbi, tapi dia berjaya melarikan diri dan meminta perlindungan daripada Sheikh Abul Hasan Asy-Syazili. Sultan marah atas perkara ini, lalu menghantar surat kepada Asy-Syazili supaya Ibnu Qalawan diserahkan kepada petugas kerajaan yang datang. Akan tetapi Asy-Syazili enggan menyerahkannya dan petugas pulang dengan tangan kosong. Sultan bertambah marah disebabkan tindakan Asy-Syazili itu.

"Tangkap kedua-duanya!" perintah SUltan kepada para parajuritnya.

Sekumpulan tentera berangkat ke rumah Asy-Syazili untuk menjalankan tugas. Akan tetapi As-Syazili enggan menyerah diri maka terjadilah pertelingkahan di antara kedua-dua belah pihak yang berakhir dengan persetujuan membayar ikat jamin yang banyak. Untuk ini, As-Syazili menyuruh agar salah seorang tentera mencampakkan sebentuk timah ke dalam sebuah perigi berhampiran. Kemudian beliau menyuruh Ibnu Qalawan agar masuk ke bilik perigi dan mengencingi timah itu. Dengan izin Allah, tiba-tiba timah tersebut menjadi emas.

"Sila ambil emas itu dan berikan kepada Sultan sebagai ikat jamin kami berdua." kata As-Syazili.

Para tentera membawa emas itu dan diberikannya kepada sultan sambil mengatakan bahawa ia sebagai ikat jamin untuk kedua-dua orang yang diburunya. Setelah ditimbang, ternyata emas itu lebih 500 kati beratnya. Sultan sangat gembira mendapatkan emas sebanyak itu dan tidak kisah dari mana asal usulnya. Yang penting emas. Malah dia ingin mempunyai emas yang lebih banyak lagi. Untuk itu dia datang kepada Asy-Syazili untuk mempelajari membuat emas melalui proses kimia.

"Ilmu kimia yang saya gunakan hanyalah takwa kepada Allah. Maka bertakwalah engkau kepada-Nya." jawab Asy-Syazili.

Thursday, December 8, 2011

Pelajaran Buat Penuntut Angkuh

Sejak masa remaja, ilmuan dan doktor terkenal Ibnu Sina telah menguasai berbagai ilmu pengetahuan. Selain pengetahuan agama dan perubatan yang menjadi kepakarannya dia juga menguasai ilmu Matematik, Psikologi dan lain-lain. Namun sebagai ilmuan remaja kadang-kadang dia tidak dapat mengawal diri dalam soal etika.

Ketika menghadiri kuliah yang disampaikan oleh ilmuan Abu Ali bin Maskawaih, Ibnu Sina terlepas kawalan. Dia tidak mengendahkan etika seorang murid dengan gurunya. Tiba-tiba dia mengeluarkan suatu benda yang tidak tentu bentuknya dan diletakkan ke meja Abu Ali.

"Cuba tuan kira berapa luas permukaan benda ini." kata Ibnu Sina dengan angkuh.

Sebagai ilmuan Islam yang warak, Ibnu Maskawaih tidak terburu-buru menjawab soalan pelajar angkuh seperti Ibnu Sina itu. Dia serta merta mengeluarkan kertas yang berisi tentang pelajaran akhlak dan pendidikan dan diberikannya kepada Ibnu Sina sambil berkata: "Baca ini!"

Seterusnya Abu Ali berkata: "Pertama kali yang perlu engkau dalami adalah pelajaran akhlak. Engkau perlu memperbaiki akhlakmu terlebih dahulu. Aku ingat lebih penting mengajar kamu akhlak yang mulia terlebih dahulu daripada menjawab berapa luas permukaan benda ini."

Ibnu Sina tertunduk malu, wajahnya pucat serta merta mengalir penuh di sekujur tubuhnya. Mulutnya tak mampu lagi bercakap walaupun sepatah. Sejak itulah dia mempelajari akhlak dan menghilangkan sifat-sifat angkuh dan bangganya.

Tuesday, December 6, 2011

Tambang Beca

Suatu masa di SUmatera Utara ada seorang ulama yang warak dan muhlis. Beliau selalu datang jika diundang ke tempat-tempat pengajian dengan tulus ikhlas sekiranya ada kelapangan masa tanpa mengambil sebarang bayaran.

Suatu hari beliau telah diundang ke pejabat Gabenor Sumatera Utara untuk memberikan pengajian. Ketika ingin pulang, seorang pegawai pejabat akan memberikan sekeping sampul surat yang berisi wang saguhati, tetapi tuan guru tersebut enggan menerimanya.

"Tak payahlah." kata si tuan guru.

"Tidak mengapa, untuk tambang beca." kata si pegawai.

Kerana dikatakan tambang beca, sampul itu pun diterima oleh tuan guru dan dimasukkan ke dalam poketnya tanpa dibuka-buka. Beliau terus memanggil sebuah beca untuk membawanya ke rumah. Ketika itu tambang beca dari pejabat Gabenor ke rumah tuan guru hanya lebih kurang 300 rupiah sahaja.

Sesampainya di tempat yang dituju, tuan guru itu turun lalu mengeluarkan sampul yang diterimanya dari pegawai tadi dan diberikan kepada si tukang beca.

"Ini tambangnya, aku tak tahu berapa isinya." kata tuan guru itu.

Tukang beca segera pergi. Apabila sudah agak jauh, dia berhenti sekejap dan membuka sampul yang diterimanya. Serta merta di terperanjat bercampur gembira yang tidak terkira, kerana ternyata tambang yang diterimanya berjumlah 50,000 rupiah. Sedangkan pendapatannya selama dua bulan pun tidak mampu menandingi jumlah tersebut. Si tukang beca pun menceritakan hal tersebut kepada rakan-rakannya.

Maka keesokkan harinya tukang beca berpusu-pusu menuju rumah si tuan guru tersebut. Mereka menunggu dan berpusing-pusing di situ, dengan harapan tuan guru akan menggunakan khidmatnya dan memberikan tambang yang banyak. Namun tidak ada durian runtuh lagi.

Tuesday, November 29, 2011

Doa Yang Mustajab

Seorang soleh bernama Ahmad bin Harb mempunyai seorang anak lelaki. Sejak kecil anak itu telah diajarnya mengenali Allah dan yakin bahawa Dia berkuasa atas segala sesuatu. Allah yang menghidupkan, yang mematikan dan yang memberi rezeki kepada manusia.

"Nak, jika engkau menginginkan sesuatu, engkau mesti minta dan berdoa kepada Allah tidak boleh kepada yang lain." kata Ahmad kepada anaknya yang masih kecil itu.

"Caranya bagaimana ayah?" tanya anaknya.

"Engkau pergi ke tingkap, angkat kedua-dua tanganmu ke langit dan ucapkan: "Ya Allah! Aku ingin ini .......... maka berilah aku rezeki dari sisi-Mu."

Ahmad dan isterinya telah menyediakan segala makanan dan minuman atau benda-benda yang menjadi kegemaran anaknya itu. Setiap kali anaknya pergi ke tingkap, kedua-duanya pergi ke tempat benda-bendanya yang disorokkan.

Suatu hari anaknya pergi ke tingkap dan berdoa: "Ya Allah, aku ingin roti yang sedap, maka berilah aku rezeki dari sisiMu."

Secepat kilat ibunya meletakkan roti di atas meja makan. Maka apabila anaknya pergi ke meja makan, telah tersedia makanan yang dimintanya. Dia yakin bahawa barang itu dari Allah.

Esok harinya dia pegi semula ke tingkap dan berdo: "Ya Allah berilah aku minuman yang sedap."

Apabila dia menoleh, di meja sudah tersedia minuman yang sedap yang diletakkan oleh ibunya. Dia yakin bahawa Allah telah menunjukkan kekuasaannya dengan memperkenankan setiap permintaannya.

Suatu hari, Ahmad dan isterinya keluar rumah. Sementara anaknya yang berada di rumah sangat ingin makan roti. Maka pergilah dia ke tingkap dan berdoa: "Ya Allah, aku ingin sangat makan roti. Maka berilah aku rezeki roti dari sisi-Mu."

Ketika itu juga tersedia roti di tempat makannya. Apabila ibu bapanya pulang, kedua-duanya terkejut kerana anaknya makan roti. Padahal ketika itu dirumahnya kebetulan tiada roti.

"Daripada mana engkau mendapatkan roti wahai anakku?" tanya Ahmad dan isterinya.

"Dari Allah yang memberiku makanan setiap hari itu." jawab anaknya.

Dengan kejadian itu, Ahmad sedar bahawa anaknya telah mencapai taraf yang tinggi keyakinannya kepada Allah, dan telah menempuh jalan seperti yang ditempuh oleh orang tawakal.

Tuesday, November 15, 2011

Baju Seorang Anak Kepala Negara

Suatu hari Khalifah Umar bin Kattab menerima pengaduan dari seorang anaknya berkenaan dengan pakaian yang dipakainya. Katanya dia diperli oleh teman-temannya kerana pakaiannya terlalu buruk dan bertampal-tampal.

“Kamu ini anak seorang kepala negara, tapi pakaianmu tampal sana tampal sini.” Kata budak-budak Madinah memerli anak Khalifah.

Umar bin Khattab sangat kasihan mendengar pengaduan anaknya itu, namun beliau tidak mempunyai wang untuk membelikannya. Maklumlah gaji sebagai kepala negara hanyalah satu dirham satu hari dan kebetulan ketika itu belum menerimanya. Kerana terpaksa, beliau berusaha meminjam ke baitulmal dan berjanji akan memulangkannya sebaik sahaja menerima gaji.

“Bukannya saya tidak mahu mengeluarkan wang baitulmal, tapi apakah Amirul Mukminin sudah yakin masih akan hidup sampai bulan hadapan? Dan sekiranya Amirul Mukmin meninggal dunia lebih awal, siapa yang akan membayar hutang tersebut.” Kata pegawai yang menguruskan baitulmal.

Mendengar keterangan itu, menangislah Kalifah Umar al- Khattab sehingga air matanya menitis ke pipinya. Beliau tidak jadi membuat pinjaman dan pulang dengan perasaan sedih.

Monday, November 14, 2011

Pahlawan Mati Di Tanduk Kambing

Ketika perang Uhud, Abu Amir dan pasukan Quraisy menggali beberapa lubang untuk memerangkap pasukan muslimin. Di atas permukaan lubang itu diletakkan lidi-lidi kemudian ditutup dengan daun. Setelah itu ditebarkan tanah diatas daun, sehingga tiada orang tahu dan menyedari lubang yang dalam itu. Dan sesiapa yang terpijak tanah diatas daun itu akan terperosok ke dalam lubang.

Perang pun bermula, Rasulullah yang memimpin pasukan muslimin terpijak perangkap yang dipasang oleh Abu Amir dan terjatuh ke dalamnya. Melihat itu tertawalah Abu Amir dan beberapa orang kafir yang lain termasuk Ibnu Qaimah. Bahkan Ibnu Qaimah bertindak yang paling kejam. Dia telah membaling Rasulullah dengan benda merbahahaya seperti besi, batu dan lain-lain sambil tertawa mengejek yang menyebabkan baginda luka-luka dan berdarah. Mujur Ali segera datang menyelamatkan baginda dari terus dibelasah oleh orang-orang kafir. Perang pun selesai.

Pada suatu hari, Abu Qaimah pergi ke sebuah bukit untuk berehat-rehat. Tiba-tiba datang seekor kambing jantan menghampirinya, lalu ia menanduk Abu Qaimah secara mengejut. Akibatnya, Abu Qaimah mengaduh kesakitan dan meronta untuk lari. Namun kambing itu menanduknya lagi bertubi-tubi, menyebabkan Abu Qaimah tidak dapat mengelak lansung. Dia menjerit meminta tolong, namun tidak ada sesiapa yang mendengar jeritannya. Dia juga cuba melawannya, namun kambing lebih pantas dan menanduk berterusan. Keberingasan Abu Qaimah ketika membaling Rasulullah tidak dapat digunakan untuk menepis tandukan kambing jantan. Akhirnya pahlawan itu mati di hujung tanduk.

Monday, October 24, 2011

Menegur Si Pemboros

Sampai berita kepada Hatim Al-Ashamm bahawa Qazwin ada seorang ulama bernama At-Tanafisi. Di samping sebagai seorang yang alim, dia juga seorang yang kaya, rumahnya cantik dan perabotnya mewah-mewah. Hatim juga seorang ulama yang bijaksana tetapi hidupnya sederhana. Untuk mengetahui keadaannya, Hatim pergi ke rumah At-Tanafisi dengan menyamar sebagai seorang bodoh yang ingin belajar.

"Semoga tuan diberkati oleh Allah." kata Hatim apabila telah berada di rumah At-Tanafisi. "Saya ini masih bodoh dan ingin belajar pengetahuan asas tentang agama."

"Boleh, boleh." kata At-Tanafisi.

"Mula-mula saya ingin belajar kunci solat, yakni cara-cara berwudhuk untuk solat." kata Hatim lagi.

"Insya Allah, dengan senag hati saya boleh mengajarkannya."

Kemudian At-Tanafisi memanggil khadamnya dan disuruhnya agar membawakan sebekas air untuk berwudhuk. Sebentar kemudian, si pelayan datang membawa air yang diminta. Maka At-Tanafisi telah bersedia menunjukkan cara-cara berwudhuk kepada Hatim.

"Lihat sini ya," kata At-Tanafisi. Lalu dia berwudhuk dengan membasuh setiap anggota wudhuk tiga kali sehingga sempurna. Hatim memperhatikannya.

"Begitulah cara berwudhuk." kata At-Tanafisi setelah selesai. "Sekarang sila engkau berwudhuk seperti yang saya contohkan."

"Baiklah. Saya harap tuan memastikan wudhuk saya agar betul-betul tercapai apa yang saya maksudkan." kata Hatim.

"Boleh, saya akan melihatnya."

At-Tanafisi bangun dan Hatim menggantikan tempat wudhuknya. Maka mulalah Hatim berwudhuk dengan disaksikan oleh At-Tanafisi sebagai pemerhati. Mula-mula membasuh mukanya tiga kali, kemudian dibasuhnya kedua-dua tangannya empat kali-empat kali. Melihat itu, At-Tanafisi terus menegur : "Hai mengapa engkau membazir?"

"Apa yang telah saya bazirkan?" tanya Hatim.

"Engkau telah membasuh kedua-dua tanganmu empat kali-empat kali." jawab At-Tanafisi.

"Subhanallah, Maha Suci Allah yang Maha Besar. Hanya air setapak tangan saja, tuan sudah cakap membazir. Cuba lihat! Tuan dengan semuanya ini, apakah tidak membazir?" kata Hatim sambil menunjuk ke rumah At-Tanafisi yang besar beserta isi dan perabot-perabotnya yang banyak dan cantik.

Sedarlah At-Tanafisi bahawa kedatangan Hatim bukan untuk belajar. Dia berasa malu, lalu masuk ke dalam rumahnya dan tidak muncul-muncul di muka orang ramai sehingga empat puluh hari.

Sunday, October 23, 2011

Bendera Duka

Suatu hari Rabi'atul Adawiyah melihat seorang sedang berjalan-jalan dengan kepala berbalut. Kerana ingin mengetahui sebabnya, Rabi'ah bertanya: "Wahai hamba Allah! Mengapa engkau balut kepalamu begitu rupa?"

"Aku sakit kepala." jawab orang itu.

"Sudah berapa lama?" tanya Rabi'ah lagi

"Sudah sekian hari."

"Usiamu sudah berapa tahun?"

"Sudah tiga puluh tahun." jawab orang itu.

"Bagaimana keadaanmu selama tiga puluh tahun itu?"

"Alhamdulillah sihat-sihat sahaja."

"Apakah kamu memasang tanda di badanmu bahawa kamu sihat selama sihatmu itu?" tanya Rabi'ah.

"Tidak." jawab orang itu.

"MasyaAllah, Selama tiga puluh tahun Allah telah menyihatkan tubuh badanmu, tetapi kamu tidak pula memasang sebarang tanda atau bendera yang menunujukkan kamu sihat sebagai tanda kamu syukur kepada ALlah. Di samping itu agar manusia dapat bertanya kepadamu apa sebabnya kamu gembira. Apabila mengetahui nikmat Allah kepadamu diharap mereka memuji kepada Allah." Seterunya Rabi'ah berkata: "Akan tetapi sebaliknya setelah engkau mendapat sakit sedikit, engkau balut kepalamu kemudian kamu pergi ke sana ke sini dengan menunjukkan sakitmu dan kekasaran Tuhan terhadapmu kepada orang ramai. Mengapa engkau berbuat hina seperti itu?"

Orang yang berbalut kepala itu tidak menjawab, dan hanya tertunduk malu kemudian pergi.


p/s jawapan terbaik untuk geng murtad

Thursday, October 20, 2011

Kota Fir'aun

Pada suatu hari, Hatim Al-Ashamm pergi ke Madinah. Ketika itu Daulah Islamiah sudah berada di bawah kekuasaan keluarga Abbasiyah, maka banyak bangunan cantik di Madinah termasuk rumah penguasanya. Orang ramai mengerumuni Hatim kerana dianggapnya sebagai orang asing.

"Kota apakah ini?" tanya Hatim kepada penduduk Madinah.

"Ini kota Rasulullah Shallalahu alaihi wa sallam." jawab mereka.

"Kota Raulullah?"

"Ya." jawab mereka lagi.

"Di mana letak istana Rasulullah? Saya mahu mengerjakan solat di dalamnya." tanya Hatim.

"Istana Rasulullah? Mana ada. Rasulullah tidak mempunyai istana. Baginda hanya mempunyai rumah rendah di atas tanah sahaja." jawab mereka.

"Kalau begitu, di mana istana para sahabat Rasulullah?" tanya Hatim pula.

"Tidak ada juga tuan. Mereka juga hanya mempunyai rumah-rumah rendah di atas tanah." jawab mereka.

"Kalau begitu, ini bukan kota Rasulullah, tapi kota Fir'aun." kata Hatim

Orang yang ramai hadir di situ terperanjat mendengar kenyataan Hatim tersebut. Baru sekarang mereka mendengar jolokan kota Fir'aun. Mereka tidak boleh menerima penyataan itu, lalu ditangkaplah Hatim dan dibawa ke rumah Gabenor yang mentadbir Madinah ketika itu.

"Orang asing ini mengatakan bahawa kota ini adalah kota Fir'aun." kata orang ramai kepada Gabenor sambil menyerahkan Hatim.

Gabenor marah mendengar laporan itu.

"Mengapa engkau berani bercakap demikian?" tanya Gabenor.

"Sabar tuan. Jangan cepat marah kepadaku. Aku ini orang bodoh dan orang asing di sini. Saya bertanya kepada orang ramai: "Kota apa ini?" Mereka menjawab: "Kota Rasulullah." Saya bertanya lagi: "Kalau kota Rasulullah, dimana istana baginda? Mereka mengatakan: "Baginda tidak punya istana, hanya punya rumah rendah saja di atas tanah."

Hatim terus bercerita dengan membacakan firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 21 yang ertinya "Sesungguhnya pada diri Rasulu Allah itu adalah ikutan yang baik untuk kamu."

"Kalau sebeginilah keadaannya, siapakah yang tuan-tuan ikut? Rasulullah ataupun Fir'aun orang yang mula-mula membina bangunan yang terdiri batu-batu marmar dan batu bata?" kata Hatim seterusnya.

Gabenor Madinah dan orang ramai tidak memberikan apa-apa jawapan. Mereka hanya diam saja kemudian beredar meninggalkan Hatim Radiallahu anh.

Wednesday, October 19, 2011

Terjerat Ucapan Sendiri

Sepasang suami isteri bahagia dan saling mencintai antara satu sama lain, tiba-tiba menjadi gelisah dan resah disebabkan beberapa biji kurma. Suatu hari kedua-dua pasangan itu makan kurma bersama-sama dan membuang bijinya ke dalam satu bekas.

Tiba-tiba si suami berkata kepada isterinya. "Asingkan mana-mana biji yang aku makan dan biji-biji yang engkau makan, kalau tidak engkau ku cerai."

Si isteri sangat terkejut mendengar ucapan suaminya itu. Dia segera menuangkan biji-biji itu dan cuba mengasingkannya, tapi bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan. Kerana tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan mana-mana biji yang dimakan suaminya dan yang dimakan olehnya. Dia bingung.

"Bagaimana cara mengasingkannya, sedangkan ia tidak dapat dibezakan?" tanya si isteri.

"Betul juga." kata si suami setelah berfikir sejenak.

Barulah si suami sedar bahawa ucapannya tadi adalah mustahil untuk dilakukan oleh isterinya. Sekarang dia menyesal kerana sudah terlanjur cakap "cerai" dan merasa terjerat oleh ucapan sendiri. Kedua-duanya gelisah dan khuatir jika cerainya jatuh.

Setelah berfikir-fikir tidak menemui jalan, si isteri pergi menjumpai Ali bin Abu Talib. Kepada Ali, dia menceritakan masalah rumahtangga yang sedang dihadapinya.

"Kami takut tercerai kalau tidak dapat mengatasi masalah ini" keluh si isteri.

"Perkara itu senang sahaja." kata Ali.

"Senang bagaimana, kami telah mencuba sedaya upaya, tapi tidak dapat." katanya lagi.

"Kamu buat biji-biji kurma itu menjadi dua longgok yang berasingan, antara satu longgok dengan lainnya diberi jarak yang agak jauh. Kemudian katakan "yang ini biji yang aku makan dan yang ini biji yang abang makan." kata Ali.

"Kami kan tidak tahu yang mana biji yang dia makan dan yang ku makan."

"Engkau tidak perlu tahu hal itu kerana, suamimu hanya menyuruh engkau mengasingkannya, bukan disuruh membezakannya." jawab Ali.

"Betul juga." kata perempuan itu puas.

Dia sangat gembira kerana masalahnya sudah boleh dilaksanakan. Sebab, si suami juga pasti tidak dapat mengesan biji-biji yang dimakannya dan yang dimakan isterinya.

Friday, December 10, 2010

Ilmu Yang Dapat Dicuri

Ketika belajar, Imam Ghazali rajin menyemak segala pengajaran dari gurunya dan mencatatnya baik-baik. Setelah bertahun-tahun belajar, catatannya telah berlonggok-longgok. Sehingga sampai masanya dia harus pulang ke kampung halamannya dengan membawa semua ilmu yang didapatinya. Maka semua catatan-catatannya itu diikatnya dengan baik dan dimasukkan ke dalam duni lalu dibawanya pulang.

Sesampainya di tengah perjalanan, kafilah yang diikutinya telah dihadang oleh perompak. Mereka membuka setiap bungusan anggota kafilah dan merampas setiap barangan berharga yang didapatinya. Pada gilirannya, barang-barang Imam Ghazali juga dibuka mereka.

"Kamu boleh ambil semua barang-barangku yang kamu suka, tapi jangan ambil bungkusan yang satu ini." kata Imam Ghazali sambil menunjuk pada guni besar yang berisi catatan-catatan hasilnya belajar.

Mendengar itu, malah si perompak merasa curiga. Mereka mengesyaki bahawa di dalam guni besar itu adalah barangan berharga sehingga pemiliknya merayu agar jangan diambil. Lalu mereka berebut membuka guni itu dan membongkar isinya. Akan tetapi alangkah terperanjatnya apabila mendapati bahawa di dalam guni itu hanya berupa kertas-kertas buruk yang tidak berharga. Puas mereka membuka-buka, namun tidak menemukan apa-apa. Mereka merasa telah ditipu oleh Al-Ghazali. "Kamu ini gila ke? Buat apa engkau membawa kertas-kertas buruk ini?" tanya para perompak.

"Ini barang-barang yang sangat berharga bagiku, tapi bagi kamu sedikitpun tidak berfaedah." kata Imam Ghazali.

"Lalu akan kamu buat apa kertas buruk-buruk ini?"

"Inilah hasilku belajar selam bertahun-tahun. Semua keterangan guruku telah ku catat ke dalam kertas-kertas ini. Jadi jika kamu rampas ia, maka habislah ilmuku dan jerih payahku bertahun-tahun hanyalah sia-sia belaka." jawab Al-Ghazali.

"Hanya ada di dalam kertas-kertas ini sajakah ilmumu hasil belajar?" tanya seorang perompak.

"Ya." jawab Al-Ghazali

"Kalau begitu bodohlah engkau."







"Menagapa pula?"






"Catatan-catatan yang kamu simpan di dalam kertas itu bukanlah ilmu. Cuba fikir, sekiranya lembaran-lembaran kertas itu ku rampas dan ku bakar, bagaimana nasibmu. Ilmumu dapat dirompak jika begitu."

Al-Ghazali terpegun mendengar perkataan si perompak. Setelah difikir-fikir, dia berkata dalam hatinya. "Betul juga."

Mulai saat itulah Al-Ghazali telah memindahkan segala catatan-catatannya ke dalam cakera padat yakni otaknya. Siang malam dia menghafal segala apa yang di dapati dari gurunya dan dengan mudah pula ia mengeluarkannya sewaktu-waktu yang diperlukan. Disamping itu tidak ada sesiapa yang boleh mencuri ilmu dalam otaknya. Itu semua berkat otak si perompak.

Thursday, November 25, 2010

Suara Rahmat

Suatu hari Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik sedang berada bersama Umar bin Abdul Aziz yang ketika itu menjawat sebagai wazirnya. Tiba-tiba terdengar bunyi petir yang sangat kuat sehingga Khalifah Sulaiman terperanjat dan merapatkan dadanya pada bahagian hadapan kenderaan. Dia kelihatan gundah dan cemas.

"Wahai Khalifah! Itu adalah suara rahmat Allah. Maka bagaimana lagi jika engkau mendengar suara azab-Nya?" ujar Umar bin Abdul Aziz.

Pada masa yang lain, Khalifah Sulaiman memandang kepada rakyat dalam suatu perhimpunan yang dihadiri oleh orang ramai.

"Alangkah ramainya orang." kata Khalifah.

"Wahai Amirul Mukminin! Mereka itu adalah lawan-lawanmu." kata Umar bin Abdul Aziz

Dia berkata demikian kerana orang ramai itu akan menggugat Khalifahnya di akhirat nanti.

Ketika Khalifah Sulaiman berjumpa dengan seorang ulama besar Abu Hazm, baginda meminta agar didoakan.

"Wahai Abu Hazm! Berdoalah untukku." pinta Khalifah Sulaiman.

Ketka itu juga Abu Hazm berdoa: "Wahai Allah! Ya Tuhanku, jika Sulaiman ini seorang wali-Mu, maka permudahkanlah untuknya kebaikan dunia dan akhirat. Akan tetapi jika dia termasuk musuh-Mu, maka heretlah tengkuknya pada apa yang Engkau suka."