Wednesday, May 12, 2010

Nenek Tiada Dalam Syurga

Rasulullah pernah berjenaka, sehingga membuat seorang nenek menangis kerana khuatir tidak masuk syurga. Nenek tersebut adalah dari golongan Ansar telah datang kepada Rasulullah Sallallahualaihiwasalam dan meminta didoakan.

"Wahai Rasulullah! Tolong doakan saya kepada Allah, agar saya dimasukkan ke dalam syurga." kata nenek tersebut.

"Wahai nenek, di syurga nanti tidak ada orang tua seperti nenek." kata Rasulullah.

Mendengar itu, si nenek menangis tersedu-sedu kerana menyangka didinya tidak akan masuk syurga. Padahal yang dimaksudkan oleh Rasulullah adalah lain.

"Nenek tidak perlu bersedih hati. Kerana yang saya maksudkan adalah semua orang yang masuk syurga nanti akan kembali ke usia muda semula, termasuk nenek juga." kata Rasulullah menerangkan.

Barulah si nenek merasa gembira dan mengelap air matanya yang membasahi pipinya yang sudah tua itu.

Sunday, May 9, 2010

Pengemis Yahudi Yang Terhina

Hasan bin Ali merupakan cucu Rasulullah Sallallahualaihiwasalam. Pada suatu hari Hasan keluar dari rumahnya dengan berpakaian kemas, baru dan cantik. Wajahnya bersinar dan badanya berbau wangi. Di tengah perjalanan, beliau terserempak dengan seorang Yahudi yang keadaanya sangat tidak terurus langsung. Badannya kotor berbau busuk dan rambutnya kusut tidak disikat. Memang begitulah keadaan orang pengemis untuk menarik simpati sambil duduk di tepi jalan.

Apabila melihat Hasan yang bekeadaan serba cantik, Yahudi itu terpegun kerana dia pernah mendengar Nabinya orang Islam berkata bahawa dunia ini syurga bagi orang kafir dan penjara bagi orang mukmin.

"Wahai Hasa cucu Rasulullah!" kata Yahudi itu.

"Ada apa?" tanya Hasan.

"Aku ingin mengatakan sesuatu kepadamu sedikit, boleh tak?" katanya lagi.

"Boleh saja, apa itu?" tanya Hasan.

"Dulu aku pernah mendengar datukmu berkata bahawa dunia ini adalah penjara bagi orang-orang mukmin dan syurga bagi orang-orang kafir."

"Memang demikian." jawab Hasan.

"Tapi keadaan sebaliknya. Aku tidak melihat dunia ini melainkan seperti syurga bagimu, sedangkan engkau orang mukmin. Aku pula tidak merasakan dunia ini melainkan sebagai penjara, padahal aku seorang kafir." kata si Yahudi.

"Wahai Yahudi!" kata Hasan. "Sekiranya engkau mengetahui balasan yang akan diberikan oleh Allah kepadaku akhirat kelak yang berupa syurga dengan segala kenikmatan dan kecantikannya, nescaya engkau akan tahu bahawa dalam keadaanku yang seperti ini di dunia, adalah seperti penjara bagiku. Sebaliknya jika engkau mengetahui akan balasan yang akan diberikan kepadamu yang berupa neraka dengan segala seksaannya, nescaya engkau tahu bahawa keadaanmu yang seperti ini di dunia adalah benar-benar merupakan syurga bagimu."

Lepas berkata demikian, Hasan pergi meneruskan perjalanannya. Tinggallah si Yahudi dalam keaadan terpinga-pinga.