Thursday, November 25, 2010

Suara Rahmat

Suatu hari Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik sedang berada bersama Umar bin Abdul Aziz yang ketika itu menjawat sebagai wazirnya. Tiba-tiba terdengar bunyi petir yang sangat kuat sehingga Khalifah Sulaiman terperanjat dan merapatkan dadanya pada bahagian hadapan kenderaan. Dia kelihatan gundah dan cemas.

"Wahai Khalifah! Itu adalah suara rahmat Allah. Maka bagaimana lagi jika engkau mendengar suara azab-Nya?" ujar Umar bin Abdul Aziz.

Pada masa yang lain, Khalifah Sulaiman memandang kepada rakyat dalam suatu perhimpunan yang dihadiri oleh orang ramai.

"Alangkah ramainya orang." kata Khalifah.

"Wahai Amirul Mukminin! Mereka itu adalah lawan-lawanmu." kata Umar bin Abdul Aziz

Dia berkata demikian kerana orang ramai itu akan menggugat Khalifahnya di akhirat nanti.

Ketika Khalifah Sulaiman berjumpa dengan seorang ulama besar Abu Hazm, baginda meminta agar didoakan.

"Wahai Abu Hazm! Berdoalah untukku." pinta Khalifah Sulaiman.

Ketka itu juga Abu Hazm berdoa: "Wahai Allah! Ya Tuhanku, jika Sulaiman ini seorang wali-Mu, maka permudahkanlah untuknya kebaikan dunia dan akhirat. Akan tetapi jika dia termasuk musuh-Mu, maka heretlah tengkuknya pada apa yang Engkau suka."

Wednesday, November 24, 2010

Hikmah Penciptaan Lalat

Orang memandang bahawa lalat datang hanya untuk menggangu ketenteraman mereka, tapi di sebalik itu ada juga hikmahnya. Diceritakan bahawa pada suatu hari ketika Khalifah Al-Mansur sedang sibuk menyelesaikan kerja-kerjanya datang seekor lalat hinggap dibahagian mukanya. Dengan cepat Al-Mansur menghalangnya, lalat itu pun terbang. Sebentar kemudian lalat itu datang lagi dan Al-Mansur pun segera menepisnya. Begitulah seterusnya lalat berkali-kali hinggap di muka Al-Mansur dan berkali-kali Al-Mansur menepisnya. Sehingga akhirnya, Al-Mansur merasa kesal kerana kerja-kerjanya terganggu hanya gara-gara seekor lalat yang tidak mempunyai apa-apa erti. Dia berfikiran: "Kalau macam ni lalat itu betul-betul merosak, tak ada gunanya langsung."

Kemudian Al-Mansur bertanya kepada Jakfar Shadiq: "Wahai Abu Abdullah! Untuk apa Allah menciptakan lalat?"

"Agar dengan lalat itu Allah dapat menunjukkan kehinaan orang-orang yang sombong dan membangga diri." jawab Jakfar Shadiq.

Mendengar jawapan itu, Al-Mansur diam. Dengan jawapan itu pula Al-Mansur sedar bahawa walaupun dirinya seorang kepala negara yang disanjung dan dijunjung oleh rakyat, ternyata tidak ada erti bagi seekor lalat.

Tuesday, November 23, 2010

Memakai Pakaian Kerana Allah

Apa saja yang dikerjakan semata-mata kerana Allah, dia tidak akan terpengaruh dengan teguran manusia. Demikianlah pendirian orang sufi seperti Sufyan At-Thauri. Pada suatu hari dia telah tersilap memakai pakaiannya sehingga letaknya tidak betul tanpa disedarinya. Dia terus keluar kepada orang ramai dan di antara mereka yang memperati pakaiannya.

"Maaf tuan." kata orang yang menegurnya.

"Ada apa?" tanya Sufyan.

"Aku ingat letak pakaian tuan tidak betul, cuba tengok itu. Ia nampak senget."

Menerima teguran itu, Sufyan terus melihat pada bahagian pakaian yang ditunjuk oleh orang. Ternyata memang tidak betul sehingga senget sebelah. Sufyan sudah mahu membetulkannya, namun tiba-tiba dibatalkan niatnya itu seraya berkata: "Aku memakai pakaian semata-mata hanya kerana Allah S.W.T, oleh kerana itu, aku tidak mahu membetulkannya hanya kerana teguran manusia."

Monday, November 22, 2010

Minta Kepada Iblis

Ketika Al-Hajjaj memegang jawatan sebagai Datuk Bandar, dia telah menugaskan seorang lelaki untuk memungut cukai di suatu kawasan tadbirnya. Di samping itu, si lelaki tersebut juga dipercayakan agar menguruskan wang itu sebelum diserahkan kepada ibu pejabat baitul mal. Akan tetapi, lelaki tersebut telah menggunakan wang itu untuk keperluan lain sehingga habis.

"Wahai lelaki! Engkau telah begitu berani menggunakan dan menyelewengkan harta milik Allah." kata Al-Hajjaj dengan marah.

"Wahai tuan Hajjaj! Kalau bukan harta Allah, harta siapa lagi yang akan ku gunakan?" kata lelaki itu. "Aku sudah minta kepada syaitan dan iblis, tapi sayangnya sesen pun dia tidak bagi."

Kemudian lelaki itu berkata lagi:"Akan tetapi, maafkanlah saya Datuk. Saya memang bersalah."

Mendengar jawapan itu, Al-Hajjaj tertawa, padahal sebelumnya dia telah marah-marah dan akan menghukum bawahannya itu. Akhirnya pegawai itu dimaafkan oleh Datuk Bandar

Thursday, November 18, 2010

Hadiah Dari Si Pengemis

Diceritakan pula bahawa ada seorang kaya raya datang kepada Ibrahim bin Adham dengan membawa wang sebanyak seribu dirham untuk dihadiahkan kepadanya.

"Terimalah wang ini sebagai hadiahku kepadamu." kata orang kaya itu kepada Ibrahim.

"Maaf, aku tidak mahu menerima pemberian dari orang-orang pengemis." kata Ibrahim.

"Masya Allah tuan ini ada-ada saja. Aku bukan seorang pengemis, tapi seorang kaya dan memiliki banyak harta." kata orang itu membantah.

"Apakah engkau masih ingin memiliki harta yang lebih banyak dari hartamu yang ada sekarang?" tanya Ibrahim.

"Sudah tentu tuan guru. Setiap orang sentiasa tentu ingin lebih kaya." jawab orang itu.

"Kalau begitu engkau memang betul-betul seorang ketua pengemis yang miskin. Oleh kerana itu bawalah pulang wang itu dan campurkan dengan hartamu agar bertambah kaya."

Takut Terkena Penyakit Sombong

Suatu hari Rasulullah s.a.w sedang berada di dalam suatu majlis yang dihadiri oleh ramai para sahabat yang ingin mendengarkan pelajaran dari baginda. Tiba-tiba datang seorang fakir miskin dengan memakai pakaian yang compang-camping dan kelihatan kurang cantik kerana kemiskinannya. Dia juga ingin mendengarkan sabda Nabinya. Setelah melihat ke kiri ke kanan, ternyata salah satu saf masih kelihatan kosong, lalu si fakir tadi duduk di situ. Kebetulan di sebelah tempat yang diduduki oleh si fakir tadi adalah seorang kaya dengan memakai pakaian bagus. Tiba-tiba si kaya mengangkat pakaiannya dan pindah ke tempat lain yang agak jauh dengan si fakir tadi. Nabi memperhatikan semuanya itu.

"Apakah engkau khuatir kekafirannya merebak kepadamu?" tanya Rasulullah kepada si kaya itu.

"Tidak, wahai Rasulullah." jawab si kaya.

"Atau apakah engkau khuatir kekayaanmu berpindah kepadanya?" tanya Rasulullah lagi.

"Juga tidak, wahai Rasulullah."

Setelah lelaki kaya itu terus menerus menjawab tidak, Rasulullah bertanya :"Kalau begitu mengapa engkau mengelakkan diri daripadanya?"

Si lelaki tidak mempunyai jawapan, dia masih merasa bersalah kerana tindakannya itu boleh menyinggung perasaan saudara seagamanya. Maka berkatalah dia: "Wahai Rasulullah! saya mengaku salah dan tersilap. Oleh kerana itu, saya bersedia memberikan sebahagian harta kekayaan kepada saudaraku sesama Muslim ini sebagai penebus dosaku."

Akan tetapi tiba-tiba si fakir menjawab dengan tegas: "Aku tidak mahu menerima harta daripadanya."

"Mengapa?" tanya lelaki kaya dengan hariran

"Aku takut"

"Takut? Takut apa?"

"Aku takut di suatu hari nanti aku terkena penyakit berbangga diri dan bersikap merendahkan saudara seagama seperti engkau bersikap sombong dan memandang rendah terhadapku hari ini." jawab si lelaki fakir.

Menyesallah si lelaki kaya disebabkan sikapnya sendiri.

Wednesday, November 17, 2010

Memanfaatkan Hadiah Khalifah

Beberapa orang ternama telah diundang oleh Khalifah untuk menghadiri suatu majlis di istana. Di antara orang-orang yang hadir adalah Asy-Syibli dan teman-temannya. Dalam majlis itu, Khalifah telah menyampaikan hadiah kepada orang-orang kenamaan termasuk Asy-Syibli dan teman-temannya yang berupa pakaian persalinan yang cantik dan mahal harganya.

Setelah selesai majlis,Asy-Syibli dan teman-temannya pulang bersama-sama. Tiba-tiba salah seorang teman Asy-Syibli itu bersin. Dia tidak membawa sapu tangan, maka dengan senang diambilnya pakaian persalinan yang dihadiahkan Khalifah itu dan dilapkannya ke hidungnya. Dengan demikian hadiah Khalifah telah bermanfaat baginya pada saat-saat yang mustahak. Tindakan teman Asy-Syibli itu tidak disukai oleh seseorang yang melihatnya. Dia sangat terperanjat besar, kerana bukan sahaja pakaian yang dijadikan lap hingus itu baru dan beharga mahal, tapi ia adalah hadiah seorang Khalifah yang sepatutnya dihargai dan dibanggakan atau dijadikan kenang-kenangan. Orang itu melaporkan apa yang dilihatnya kepada Khalifah.

Khalifah sangat marah, dan memanggil teman Asy-Syibli itu datang ke istana.

"Betulkah engkau telah membuat hadiah dariku sebagai lap hidungmu?" tanya Khalifah.

"Betul tuanku." jawab teman Asy-Syibli berterus terang.

"Tidak tahukah engkau bahawa barang itu sangat berharga?"

"Tahu." jawabnya.

"Kalau tahu, mengapa engkau jadikan ia sebagai lap hidungmu?"

"Kerana kebetulan ketika itu saya tidak membawa sapu tangan."

"Engkau telah melampau, tidak menghargai pemberian seseorang. Tindakanmu itu sama seperti menghinaku, tahu!" kata Khalifah. "Serahkan balik hadiah itu, dan pergilah engkau dari sini!"

Dengan senang hati teman Asy-Syibli menyerahkan balik hadiah yang diterimanya kepada Khalifah kemudian pergi. Sememangnya dia tidak pernah mengharapkan hadiah dari Khalifah.

Menanggapi hal itu, Asy-Syibli berkata: "Kalau raja di dunia sudah demikian marahnya jika hadiahnya tidak dihargai, maka bagaimana lagi marahnya Raja Sekalian Alam ini terhadap orang yang menyia-nyiakan hadiahNya.

Monday, November 15, 2010

Menghantuk Dinding

Seorang murid yang sedang belajar di bawah bimbingan Junid Al-Bagdadi telah melakukan suatu kesalahan kecil, lalu melarikan diri dari pondoknya dan tidak kembali lagi kerana malu. Pada suatu hari, Junid sedang berjalan-jalan di pasar bersama beberapa orang temannya, tiba-tiba beliau ternampak muridnya yang melarikan diri. Si murid merasa malu, lalu lari dengan menundukkan kepalanya.

"Seekor burung kita telah terlepas dari sangkar." kata Junid merujuk pada si murid.

Lalu beliau dan teman-temannya mengejar murid itu untuk menangkapnya. Si murid terus lari dengan menunduk-nunduk. Apabila dia cuba melihat kebelakang, ternyata tuan gurunya terus mengejarnya. Maka dia pun mempercepatkan langkahnya, dan tanpa disedarinya dia telah masuk pada sebuah jalan mati. Dia terkejut dan bingung, kerana ada dinding tembok yang tidak boleh dipanjat telah tersergam di hadapannya. Sedang Junid terus mengekorinya. Kerana malu, si murid tidak mahu berpatah balik atau memalingkan mukanya. Malah dia terus merapatkan mukanya pada tembok.

"Tuan guru mahu apa buat di sini?" kata murid itu kehabisan akal.

"Jika ada seseorang menghantuk tembok dengan mukanya disebabkan tidak dapat berjalan, tentulah tuan guru akan menolongnya." jawab Junid.

Lalu murid itu dibawa pulang ke pondoknya dan bertaubat.

Sunday, November 14, 2010

Rumah Persinggahan

Para menteri kerajaan Balakh telah hadir di tempat persidangan di dalam istana. Sultan Ibrahim bin Adham yang memerintah Balakh juga telah hadir di tengah-tengah jemaah menteri dan orang-orang besar kerajaan lainnya. Beliau duduk di atas kerusi kebesarannya.

Tiba-tiba muncul seorang lelaki bertubuh segak di dalam ruangan sidang. Tidak seorang pun yang mengenalinya dan tidak seorang pun yang mahu menanyakannya. Dia terus meluru ke hadapan raja. Melihat lelaki yang tidak sopan santun itu, Ibrahim agak marah dan kecewa.

"Hai saudara! Engkau ini siapa dan apa urusanmu datang ke sini, hah?" tanya Sultan Ibrahim.

"Saya ini orang musafir dan baru saja sampai di rumah persinggahan ini." jawab lelaki itu.

"Engkau ini mengada-ngada. Ini bukan rumah persinggahan musafir. Ini adalah istanaku, tahu. Engkau sudah gilakah?" bentak Ibrahim.

"Siapa yang mendiami istana ini sebelum kamu?" tanya lelaki.

"Bapakku." jawab Ibrahim.

"Sebelum didiami oleh bapakmu?"

"Didiami oleh datukku." jawab Ibrahim.

"Sebelum didiami oleh datukmu?"

"Ia didiami oleh bapak kepada datukku."

"Sebelum bapak kepada datukmu?"

"Bapak kepada bapak datukkulah."

"Ke mana mereka semua sekarang?"

"Semuanya telah pergi kerana telah mati."

"Jadi tempat ini pada mulanya didiami oleh seseorang, kemudian ditinggalkan pergi. Lalu datang lagi orang menghuninya, lepas itu dia akan pergi lagi. Kemudian datang lagi dan pergi lagi. Kalau begitu, bukankah ini rumah persinggahan namanya?"

Setelah berkata demikian, lelaki itu hilang. Barulah Sultan Ibrahim sedar bahawa sebetulnya lelaki misteri tersebut sengaja datang untuk mengujinya, apa makna sebenar dari kehidupan ini.