Thursday, November 18, 2010

Takut Terkena Penyakit Sombong

Suatu hari Rasulullah s.a.w sedang berada di dalam suatu majlis yang dihadiri oleh ramai para sahabat yang ingin mendengarkan pelajaran dari baginda. Tiba-tiba datang seorang fakir miskin dengan memakai pakaian yang compang-camping dan kelihatan kurang cantik kerana kemiskinannya. Dia juga ingin mendengarkan sabda Nabinya. Setelah melihat ke kiri ke kanan, ternyata salah satu saf masih kelihatan kosong, lalu si fakir tadi duduk di situ. Kebetulan di sebelah tempat yang diduduki oleh si fakir tadi adalah seorang kaya dengan memakai pakaian bagus. Tiba-tiba si kaya mengangkat pakaiannya dan pindah ke tempat lain yang agak jauh dengan si fakir tadi. Nabi memperhatikan semuanya itu.

"Apakah engkau khuatir kekafirannya merebak kepadamu?" tanya Rasulullah kepada si kaya itu.

"Tidak, wahai Rasulullah." jawab si kaya.

"Atau apakah engkau khuatir kekayaanmu berpindah kepadanya?" tanya Rasulullah lagi.

"Juga tidak, wahai Rasulullah."

Setelah lelaki kaya itu terus menerus menjawab tidak, Rasulullah bertanya :"Kalau begitu mengapa engkau mengelakkan diri daripadanya?"

Si lelaki tidak mempunyai jawapan, dia masih merasa bersalah kerana tindakannya itu boleh menyinggung perasaan saudara seagamanya. Maka berkatalah dia: "Wahai Rasulullah! saya mengaku salah dan tersilap. Oleh kerana itu, saya bersedia memberikan sebahagian harta kekayaan kepada saudaraku sesama Muslim ini sebagai penebus dosaku."

Akan tetapi tiba-tiba si fakir menjawab dengan tegas: "Aku tidak mahu menerima harta daripadanya."

"Mengapa?" tanya lelaki kaya dengan hariran

"Aku takut"

"Takut? Takut apa?"

"Aku takut di suatu hari nanti aku terkena penyakit berbangga diri dan bersikap merendahkan saudara seagama seperti engkau bersikap sombong dan memandang rendah terhadapku hari ini." jawab si lelaki fakir.

Menyesallah si lelaki kaya disebabkan sikapnya sendiri.

No comments: