Wednesday, August 25, 2010

Tidak Pernah Kecewa

Syeikh Abu Usman Al-Hiri terkenal sebagai orang yang tidak pernah, kecewa atau kesal terhadap apa saja yang menimpa dirinya selama empat puluh tahun.

Ada seorang lelaki yang tidak percaya akan perkara itu ingin membuktikan kebenarannya. Dia lalu mengundang Abu Usman agar datang ke rumahnya untuk satu jamuan. Abu Usman pun datang ke rumah yang mengundangnya. Akan tetapi sebaik sahaja Abu Usman sampai, lelaki yang mengundang itu terus menghalaunya dengan kasar.

"Hai orang yang rakus! Di sini tidak ada makanan untukmu. Baliklah!"kata lelaki yang mengundang.

Abu Usman pun berpatah balik dengan tenang dan tidak kecewa sedikitpun. Setelah agak jauh sedikit, lelaki itu memanggilnya lagi: "Hai Syeikh! Sila ke sini!"

Mendengar panggilan itu, Abu Usman datang lagi dan apabila sampai dihadapan rumah lalu dihalaunya lagi dengan kasar: "Untuk apa kamu datang ke sini? Silakan pulang!"

Abu Usman terus berpaling dan melangkah untuk pulang, tapi di panggil lagi : "Hai orang tua! Ke sini cepat!"

Begitulah seterusnya sehingga sampai tiga puluh kali si lelaki memanggil Abu Usman, lalu menghalaunya lagi dengan kasar, dan tiga puluh kali pula Abu Usman datang dan pergi. Akan tetapi sedikitpun dia tidak menunjukkan rasa marah atau kecewa, malah sebaliknya dia tetap tenang seperti biasa.

Akhirnya si lelaki percaya bahawa apa yang diperkatakan orang tentang Abu Usman adalah benar. Maka diapun berlutut di hadapan Abu Usman dan memohon maaf.

"Tuan memang betul-betul hamba Allah yang sangat sabar. Tiga puluh kali dihalau dengan kasar, namun tuan tidak marah sedikit pun." kata lelaki itu.

"Perkara ini senang sahaja. Anjing pun boleh berbuat seperti apa yang saya buat. Jika dia dipanggil datang dan apabila dihalau dia pun pergi tanpa bersungut atau marah sedikitpun. Apalah ertinya suatu perbuatan yang boleh dilakukan oleh anjing." kata Abu Usman.

Sejak saat itu lelaki yang menguji cuba itu menjadi murid Abu Usman yang baik.