Wednesday, April 28, 2010

Bandar Mati

Dalam suatu perjalanan melintasi hutan belantara, Ibrahim bin Adham terserempak dengan seorang askar yang sedang tersesat jalan.

"Tuan, boleh tunjukkan saya jalan ke bandar?" tanya askar itu kepada Ibrahim.

"Boleh." jawab Ibrahim sambil menunjukkan suatu arah kepada si askar. Lalu askar tersebut mengikuti arah yang ditunjukkan Ibrahim. Setelah lama berjalan, ternyata yang ditemui ialah tanah perkuburan dan bukannya bandar.

"Kurang ajar orang itu." bisik askar tersebut dalam hatinya. Dia terus berbalik ke belakang dan mengejar Ibrahim bin Adham yang masih berada tidak jauh dari situ. Setelah memintasnya, askar tersebut memegang leher Ibrahim dan dipukulnya sehingga mencederakan kepada Ibrahim.

"Kamu bohong. Saya tanya bandar, tapi kamu tunjukkan kubur." kata askar itu sambil mengikat Ibrahim lalu diheretnya sampai ke bandar sebenar.

"Wahai askar! Itu Sultan Ibrahim, mengapa engkau heret sedemikian rupa?" tanya orang yang melihatnya.

"Dia menujukkan jalan yang salah padaku. Aku tanya bandar dia tunjukan tanah perkuburan." kata askar tersebut.

"Bandar ialah kawasan yang ramai penduduknya dan semakin bertambah. Penduduk tanah perkuburan itu bertambah dari hari ke sehari, tapi penduduk bandar sendiri berkurangan jika ada orang yang mati." kata Ibrahim membela diri.

"Bukankah tanah perkuburan itu merupakan sebuah bandar yang sedang berkembang?" kata Ibrahim lagi.

Si askar terperanjat, lalu digosok-gosok matanya. Ternyata orang yang diseksanya itu memang Ibrahim bin Adham si wali Allah. Ketika itu juga dia menundukkan badannya dan meminta maaf diatas perbuatan gelojohnya itu. Ibrahim tidak marah, malah sebaliknya dia sangat berterima kasih kepada si askar yang telah membelasahnya.

"Lantaran engkau telah mengasari diriku, aku telah dijadikan penghuni syurga. Oleh kerana itu aku berdoa kepada Allah supaya engkau juga dijadikan sebagai penghuni syurga kerana telah berjasa kepada diriku." kata Ibrahim

Saturday, April 24, 2010

Saling Intai Mengintai (Part 3)

Setelah dekat, ternyata dia Al-Akhnas bin Syarik dalam keadaan termengah-mengah. Al-Akhnas terkejut besar ketika terserempak dengan Abu Jahal dan Abu Sufyan. Hampir sahaja dia mahu melencong ke arah lain kerana malu, tapi segera dipintas oleh teman-temannya.

Setelah ditanya, ternyata Akhnas juga datang dari rumah Muhammad untuk mendengarkan Al-Quran. Maka ketiga-tiga tokoh saling mengutuk diri sendiri dan saling tertawa sendiri. Merekalah yang memberikan amaran kepada kaum Quraisy agar jangan sesekali mendengar Al-Quran, akan tetapi sekarang mereka terserempak dengan tidak disengajakan setelah masing-masing mencuri dengar Al-Quran. Mereka saling berjanji untuk tidak mengulanginya lagi. Sebab jika ada yang tahu, ia akan menjadi propaganda besar bagi Al-Quran.

Akan tetapi ketiga-tiga orang itu masih belum puas mendengar Al-Quran sekali sahaja. Dihati mereka menyimpan rahsia ingin mendengarkannya lagi.

Dengan takdir Allah pada malam berikutnya, ketiga-tiga orang itu keluar secara sendiri-sendiri mendengarkan Al-Quran. Maka terjadinya episod seperti malam sebelumnya iaitu terserempak dengan tidak sengaja. Setelah saling menyalahkan diri sendiri mereka berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Anehnya, pada suatu malam terjadi lagi peristiwa yang terjadi pada kali pertama dan kedua. Ketawalah mereka bertiga.

Tuesday, April 20, 2010

Saling Intai Mengintai (Part 2)

Pada suatu malam, Abu Sufyan keluar dari rumahnya dan dengan senyap-senyap dia menuju ke rumah Nabi Muhammad. Matanya tidak henti-henti melihat ke sana-sini, khuatir kalau-kalu ada kaumnya yang melihat. Kalau di ketahui orang, tentu membawa padah dan malu besar. Setelah pasti tidak ada orang melihat, dia pun memasang telinga mendengarkan Al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah. Sebentar kemudian, dia segera beredar dengan menyorok-nyorok kerana bimbang ada orang melihatnya. Sebenarnya beliau masih tidak puas mendengarkan bacaan tersebut, tapi baginya sedikitpun jadi. Yang penting tidak ada orang yang mengetahuinya.

Tiba-tiba dia terserempak dengan Abu Jahal dalam keadaan tercungap-cungap seperti dikejar musuh.

"Hai, apa gerangan engkau malam-malam begini?" tanya Abu Sufyan.

"Tak ada apa-apa" balas Abu Jahal.

"Agaknya engkau datang dari mendengarkan Muhammad membaca Al-Quran?" tanya Abu Sufyan

"Engkau pula datang dari mana?" Abu Jahal cuba menukar topik pertanyaan Abu Sufyan.

Kedua-dua tokoh itu sama-sama tidak dapat memberikan jawapan kerana tindakan mereka adalah rahsia yang dikerjakan atas inisiatif peribadi. Akan tetapi kedua-duanya saling memahamiapa yang telah dilakukan temannya. Belum sempat mereka meneruskan percakapan,tiba-tiba datang seorang lelaki sambil berlari-lari kecil di dalam kegelapan malam.

Sunday, April 18, 2010

Saling Intai Mengintai (Part 1)

Para pemuka Quraisy mendapat tahu punca nutama yang menjadi daya tarik orang ramai masuk Islam ialah setelah mendengar bacaan Al-Quran. Oleh kerana itu mereka berusaha sedaya upaya agar orang yang belum masuk Islam tidak mendengar Al-Quran. Di tempat2 yang biasa terdengar alunan Al-Quran seperti rumah Nabi, rumah Abu Bakar di Ka'abah ketika Nabi sedang solat dan lain-lain dikawalnya dengan ketat. Jika ada orang yang melaluinya disuruh menjauhi dan dihalau agar berjalan dengan cepat.

Akibat kekhuatiran mereka, orang ramai di kalangan kafir Quraisy tertanya-tanya kandungan Al-Quran tersebut. Sama ada orang biasa ataupun para pembesar.

Orang-orang biasa berpendapat: "Kalau tidak ada apa2 yang hebat dalam Al-Quran, tentu orang atasan tidak bermati-matian menghalang dari mendengarnya."

Lalu merekapun mendengarkan Al-Quran secara sembunyi-sembunyi sama ada siang ataupun malam, sehinggakan sebahagian darinya tertarik dan memeluk Islam.

Dikalangan pemimpin pula berfikir. "Apa gerangan yang terkandung di dalam Al-Quran itu sehingga menyebabkan ramai orang yang terpikat kepadanya? Ah sebaiknya aku mendengarkannya sendiri secara sembunyi, apa salahnya?"

Angan2 seperti itu terdapat dalam setiap otak para pemimpin Quraisy yang menentang dan menghalang orang mendengarkan Al-Quran. Akan tetapi ia tidak dikeluarkannya kepada orang lain, hanya tersimpan dan menjadi cita-cita di dalam hati masing-masing termasuk Abu Jahal, Abu Sufyan dan Al-Akhnas bin Syarik.

Friday, April 16, 2010

Ke Mana Dan Dari Mana

Suatu ketika Hasan Al-Basri melihat seorang anak kecil membawa lampu pelita yang sedang dinyalakan api diatasnya. Dia lalu menghampiri budak itu dan menegurnya.

"Wahai anak! Dari mana engkau membawa api itu?"tanya Hasan.

Anak itu tidak menjawab, tapi hanya menunjukkan api itu kepada Hasan seperti memberikan bahasa isyarat agar beliau melihat dengan jelas. Tiba2 api itu dipadamkan oleh anak itu dan bertanya. "Sila tuan beritahu saya, ke mana perginya api pada lampu ini?"

Hasan Al-Basri tidak dapat menjawab.

Masih Ingin Kaya Lagi

Suatu hari ada seorang datang kepada Al-Junaid dengan membawa wang sebanyak lima ratus dinar. Dia berniat akan mensedekahkan wang itu kepada Junaid yang dikenal sebagai orang miskin tetapi qanaah(berasa cukup dengan apa yang ada).

"Terimalah wang ini sebagai sedekah dari saya." katanya sambil menyerahkan bungkusan kepada Junaid.

"Banyak betul. Apakah engkau mempunyai wang lagi selain dari ini?"tanya Junaid.

"Tentu tuan, wangku masih banyak lagi."

"Apakah engkau masih ingin lebih kaya lagi?" tanya Junaid lagi.

"Sudah tentu tuan guru, kalau Tuhan memberikan rezeki lebih banyak lagi."

"O...kalau begitu, ambillah wang ini semula. Engkau lebih patut memilikinya, kerana engkau masih mahu kaya lagi. Sedangkan aku, memanglah tidak mempunyai wang tapi tidak memerlukan apa2 untuk dibeli."

Lelaki tersebut merasa malu, lalu dengan perasaan menyesal wang pemberiannya diambil dan dibawa pulang.

Thursday, April 15, 2010

Ingat Mati

Suatu hari Anbasah bin Said bin Ash datang kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz untuk mengadukan masalahnya.

"Wahai Amirul Mukminin! Setahu saya Khalifah2 sebelum anda sentiasa memberi peruntukan dan hadiah-hadiah kepada orang2 tertentu termasuk saya. Akan tetapi setelah anda menduduki jawatan Khalifah, bantuan dan hadiah2 tiada lagi. Anda telah menghentikannya. Sedangkan saya mempunyai tanggungan dan keluarga."kata Anbas sambil merayu sedikit bantuan.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan wara' itu tidak mahu mengeluarkan apa-apa milik negara walau hanya sekepal tanah pada yang tidak berhak. Beliau hanya memberikan cara kepada Anbas untuk mengatasi kesempitan hidup.

"Banyak-banyaklah engkau mengingati mati. Insya-Allah jika engkau merasa kesempitan hidup, ia akan melapangkan kamu. Sebaliknya jika engkau dalam keadaan lapang dan berfoya-foya, ia akan menahan kamu dari terjerumus pada kehancuran."

Sunday, April 4, 2010

Saguhati Bagi Yang Kentut

Suatu hari seorang tuan guru dan beberapa orang muridnya sedang menghadiri majlis kenduri, tiba-tiba salah seorang diantara murid itu terkentut. Teman-temannya yang lain berasa malu dan agak keciwa dengan keadaan itu.

Tiba-tiba tuan guru berkata:

"Dahulu ada seorang kakitangan penjajah Belanda yang baik hati. Jika kebetulan mendengar orang kentut, dia mengeluarkan sedikit wang dari sakunya lalu diberikan kepada yang kentut."

"Mengapa demikian?" tanya para pelajar.

"Dia berterima kasih kerana jika kentut itu ditahan boleh menyebabkan penyakit perut. Akibatnya Belanda akan menanggung kos hospital yang lebih banyak"

Dengan cara itu, Tuan guru itu berjaya mengalihkan perhatian para pelajar yang menganggap temannya kurang sopan, dan pelajar yang terkentut tidak merasa malu lagi.