Monday, July 26, 2010

Menguji Calon Suami (3)

Akhirnya Hatimtampil membawakan syairnya:

Wahai Mawiyah yang jelita
lama sudah aku merinduimu
namun banyak penghalang merintang
wahai Mawiyah!
yang namanya harta, hanyalah sementara
sekejap ada esok lenyap
ia bukan senjata bagi anak muda

Mawiyah tidak memberikan komen apa-apa terhadap syair Hatim ini. Sebaliknya dia hanya mengarahkan kepada pelayannya agar menghidangkan bahagian-bahagian unta hasil mengemis yang telah dimasaknya itu. Sebelumnya, Mawiyah telah mengajar si pelayan kepada tiga mangkuk itu dihidangkan.

Apabila Mawiyah masuk, pelayan datang membawa hidangan tiga mangkuk. Sup tulang unta dihidangkan kepada lelaki Nabit, ekor unta dihidangkan kepada Nabighah dan Hatim mendapat bahagian daging paling bagus.

Bukan alang kepalang terperanjatnya si lelaki Nabit dan Nabighah, apabila melihat mangkuk yang dihidangkan kepadanya. Kerana ternyata hidangan itu adalah barang yang mereka berikan kepada pengemis semalam. Barulah mereka sedar bahawa yang datang semalam itu adalah Mawiyah yang menyamar sebagai pengemis tua. Kedua-duanya tertunduk malu. Sementara Hatim senyum-senyum dan kagum akan kecerdikan si Mawiyah.

"Sungguh Hatim itu lebih baik daripada syairnya." kata Mawiyah sambil melirik kepada Hatim sebagai tanda setuju bersuamikan dia. Kedua-dua lelaki lain hanya dapat menggigit jari saja.

Wednesday, July 21, 2010

Menguji Calon Suami (2)

Tanpa berfikir panjang, Nabighah mengambil ekor-ekor unta yang disembelihnya dan diberikannya kepada si peminta sedekah itu.

"Terima kasih." kata Mawiyah lalu pergi.

Terakhir Mawiyah pergi ke rumah Hatim At-Ta'i yang sedang sibuk mengadakan persediaan untuk kenduri.

"Tuan, berilah saya sedikit makanan."kata Mawiyah.

"Siapa engkau ini?" tanya Hatim dengan lemah lembut.

"Saya seorang fakir dari kampung anu, datang untuk meminta sedekah. Berilah saya sedikit makanan." jawab Mawiyah.

"Baik, tunggu sekejap. Aku akan mencarikan daging yang baik untuk kamu." kata Hatim.

Dia pergi ke dapur dan mengambil daging yang terbaik dari unta yang disembelihnya dan kemudian diberikannya kepada peminta sedekah.

"Terima ini." kata Hatim At-Ta'i.

"Terima kasih tuan." kata Mawiyah.

Setelah berhasil mendatangi rumah ketiga-tiga orang yang meminangnya, Mawiyah pulang membawa hasil mengemisnya dengan gembira. Tulang, ekor dan daging yang didapatinya dari meminta sedekah itu dimasaknya lalu disimpannya dalam bekas berasingan.

Pada masa yang telah ditetapkan, ketiga-tiga lelaki itu datang ke rumah Mawiyah untuk memperdengarkan syair gubahan masing-masing.

Mula-mula Mawiyah mempersilakan Nabighah agar membacakan syairnya. Nabighah berdiri sambil membaca syair yang memuji dirinya sendiri:

Cuba kau tanya kepadaku suku Dzibyan
mereka tentu tahu, siapa aku
siapa keturunanku
kuhamparkan semua hartaku
sama ada teman atau seteru
semua datang menyerbu
semua merasa juadah dan lauk sedap
"Kau memang baik dan semua orang datang mengerumunimu kerana kamu umpan mereka dengan makanan dan lauk yang sedap" komen Mawiyah.

Kemudian lelaki Nabit maju memperdendangkan puisinya

Wahai Mawiyah
sudahkah kau risik tentang diriku
dan apa yang ku buat?
di saat-saat manusia kelaparan
aku hamburkan hartaku kepada mereka
semua mendapat bahagian
walaupun datang tak terbilang

"Engkau hanya mengarut belaka. Bicara kosong." kata Mawiyah setelah mendengar syair lelaki Nabit itu.

Monday, July 12, 2010

Menguji Calon Suami (1)

Tersebutlah kisah seorang wanita cantik bernama Mawiyah binti Azfar yang hidup di tanah Arab. Selain cantik, Mawiyah juga terkenal sebagai gadis yang cerdas akalnya dan dari keturunan bangsawan. Ramai lelaki yang datang meminangnya, namun Mawiyah tidak mahu memilih calon suaminya sebelum menguji kecerdasan dan latar belakangnya terlebih dahulu.

Suatu ketika, tiga lelaki dari keturunan bangsawan dan hartawan datang meminangnya. Mereka itu adalah Hatim At-Ta'i, An-Nabighah dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai lelaki dari suku Nabit. Kepada ketiga-tiga lelaki itu, Mawiyah menyuruh mereka pulang dan membuat syair tentang keagungan diri masing-masing. Setelah itu barulah datang lagi untuk membacakan syair-syairnya. Maka ketiga-tiga lelaki itu pun pulang untuk menciptakan syair yang paling baik sambil menyembelih unta sebagai kesyukuran.

Mawiyah yang cerdik akalnya itu memakai pakaian hodoh seperti orang tua lalu keluar menuju rumah ketiga-tiga lelaki yang meminangnya dengan menyamar sebagai pengemis.

Mula-mula dia datang ke rumah lelaki dari suku Nabit untuk mengemis. Tiada sesiapapun yang menyedari akan perkara itu.

"Tuan berilah saya sedikit makanan untuk mengalas perut " kata Mawiyah ketka sampai di rumah lelaki Nabit.

Lelaki Nabit lalu memanggil hadamnya dan menyuruhnya agar pengemis itu diberi sedikit tulang-tulang unta sembelihan. Mawiyah menerima pemberian itu dengan suka hati dan mengucapkan terima kasih.

Kemudian dia pergi pula ke rumah Nabighah sambil meminta sedekah.

"Tuan berilah saya sedikit makanan."kata Mawiyah

"Siapa kamu?" tanya Nabighah.

"Saya seorang fakir yang tidak punya apa-apa."

Wednesday, July 7, 2010

Di Ambil Berkatnya (2)

Apabila hari telah petang, para perompak itu datang lagi dengan membawa barang-barang yang banyak hasil rompakannya. Orang mengira bahawa barang-barang itu adalah ghanimah (harta rampasan perang).

Tiba-tiba mereka melihat anak lelaki yang dilihatnya semalam dalam keadaan lumpuh tidak dapat berdiri, tapi sekarang berjalan seperti biasa. Mereka sangat hairan. "Apakah ini anak tuan yang lumpuh itu?" tanya mereka.

"Betul." jawab tuan rumah.

"Tiba-tiba boleh jadi begini?"

"Ya, itu semua berkat tuan-tuan sekalian." kata tuan rumah.

"Berkat kami?" tanya mereka kehairanan.

"Ya, kami telah mengambil sisa-sisa air yang digunakan tuan, lalu dijadikan ubat buat anak saya ini dengan harapan semoga dengan berkat para pejuang yang sedang berperang di jalan Allah, Dia akan menyembuhkannya. Ternyata mujarab. Inilah buktinya."

"Astaghfirullahal Azim." perompak-perompak tersebut terperanjat sambil melihat sesama sendiri.

"Mengapa tuan bersikap demikian?" tanya tuan rumah.

"Sebetulnya kami ini bukan para pejuang."

"Jadi tuan ini sebagai apa?"

"Sebenarnya kami perompak. Kami berbohong pada tuan."

Terkejutlah tuan rumah mendengar pengakuan jujur dari tetamunya itu. Sebentar kemudian dia berkata. "Tak kisahlah tuan...... Perompak pun perompaklah..........yang penting anak saya sudah dapat berjalan."

"Anak tuan sembuh bukan kerana berkat kami, tapi kerana ketulusan iktikad dan niat tuan." kata perompak itu sambil menangis menyatakan penyesalannya.

Mereka bertaubat dan berjanji tidak akan merompak lagi sebaliknya akan menjadi para pejuang di jalan Allah dengan sebenarnya.