Tuesday, September 21, 2010

Perempuan Mata Duitan

Ja'dah binti Al-Asy'ath bin Qais adalah termasuk wanita yang beruntung kerana dia menjadi isteri kepada salah seorang cucu Rasulullah s.a.w yakni Al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Namun walaupun dia menjadi kesayangan lelaki wewangi Rasulullah, dia juga telah menjadi racun baginya.

Kisahnya bermula apabila Muawiyah ingin melenyapkan Al-Hasan agar kekuasaan Khalifah dapat diwariskan kepada anaknya Yazid bin Muawiyah. Untuk menjayakan cita-citanya tersebut, Muawiyah telah berhasil menghubungi Ja'dah secara sulit agar dia mahu meracun suaminya sendiri. Kedengarannya memang aneh, tapi dengan kepandaian Muawiyah, Ja'dah setuju setelah dijanjikan upah sebanyak 100 000 dinar. Di samping itu, Muawiyah berjanji akan mengahwinkan Ja'dah dengan anaknya Yazid bin Muawiyah yang bakal menjadi Khalifah jika Al-Hasan berhasil dibunuh.

Ja'dah menjadi buta hati dan fikiran kerana melirik pada duit yang banyak dan ingin bersuami baru yang bakal menjadi Khalifah. Maka dengan senyap-senyap Ja'dah memasukkan racun ke dalam makanan suaminya. Akibatnya, Hasan meninggal dunia setelah menderita sakit selama empat puluh hari.

Di tengah-tengah curahan air mata umat Islam yang menangisi kepergian putera kesayangan Rasulullah s.a.w itu, ada air mata buaya yang menitis dari wanita mata duitan. Siapa lagi kalau tidak dari si Ja'dah isteri Al-Hasan sendiri.

Setelah Al-Hasan dikuburkan, Muawiyah memenuhi janjinya dengan memberikan wang sebanyak 100 000 dinar kepada Ja'dah. Akan tetapi Ja'dah belum puas hanya dengan upah selonggok dinar itu, dia pun meminta Muawiyah agar segera megahwinkannya dengan Yazid sebagaimana yang telah dijanjikan.

Akan tetapi Muawiyah bukannya bodoh. Dia telah mengirim surat kepada Ja'dah yang berbunyi: "Nyawa anakku Yazid terlalu mahal buat kamu. Kalau putera Rasulullah saja masih kamu racun, apalagi anakku."

Jelasnya, Muawiyah telah memungkiri janji. Ja'dah merasa telah tertipu dan menyesal sepanjang masa.