Wednesday, June 30, 2010

Di Ambil Berkatnya (1)

Sekumpulan perompak keluar dari markaznya dan menuju ke sebuah tempat yang telah dikenal pasti untuk menghadang kafilah yang lalu. Apabila malam tiba, mereka berhenti di sebuah rumah di tengah perjalanan itu untuk tumpang bermalam.

"Kami ini sekumpulan tentera yang sedang berperang di jalan Allah. Kerana hari telah malam, kami ingin tumpang tidur di sini." kata ketua perompak berbohong.

Tuan rumah sangat gembira menerima tetamu para pejuang. Dia telah melayan mereka sebaik-baiknya. Disediakannya segala keperluan termasuk makanan dan tempat tidur.

"Kesempatan bagi kita mengambil berkat para pejuang itu untuk mendekatkan diri kepada Allah." kata tuan rumah kepada isterinya.

Kebetulan si tuan rumah mempunyai seorang anak lelaki yang lumpuh sejak lahir. Walaupun usianya sudah menigkat remaja, tapi dia masih tidak dapat berdiri, apa lagi berjalan. Timbullah idea di hati si bapa untuk mengambil sisa-sisa air yang digunakan oleh para tetamunya itu sebagai ubat bagi anaknya yang lumpuh. Lalu dengan diam-diam dia menyimpan air tersebut dalam sebuah bekas.

Di awal pagi, para perompak itu telah bersiap sedia untuk merompak.

"Kami akan pergi meneruskan peperangan dan insya Allah petang ini akan datang lagi." kata mereka.

Setelah para perompak pergi, tuan rumah berkata kepada isterinya: "Sila lapkan air ini kepada anak kita yang lumpur sebagai ubat. Mudah-mudahan dia dapat berjalan."

"Air apa ini bang?" tanya si isteri.

"Air sisa-sisa para pejuang itu. Mudah-mudahan dengan berkat mereka, Allah akan menyembuhkan anak kita."

Si isteri melaksanakan apa yang disuruh oleh suaminya. Ternyata sangat mujarab. Sebaik saja selesai dilap kakinya dengan 'air berkat' itu, anak tersebut terus berdiri dan berjalan seperti tidak pernah lumpuh. Pasangan suami isteri itu sangat gembira dan bersyukur kepada Allah.

"Alhamdulillah, kita dapat tetamu yang diberkati Allah." kata si suami.

Thursday, June 24, 2010

Belum Bersalah Sudah Dihukum

Seorang Bani Israil mengundang seorang soleh agar datang ke istananya kerana dia sangat suka berdampingan dengannya.

"Bagaimana kalau engkau tinggal di kawasan istana?" tanya raja kepada orang soleh.

"Baik juga, tapi izinkan saya bertanya sesuatu terlebih dahulu kepada raja." kata orang soleh.

"Boleh. Sila bertanya."

"Umpamanya saya tinggal disisni, lalu pada suatu hari tuan melihat saya bermain-main dengan puteri tuan di hadapan tuan. Tindakan apa yang akan tuan ambil?"

Mendengar itu, raja sangat marah. Lalu bangkit dari tempat duduknya sambil bercekak pinggang dan menengking si orang soleh.

"Kurang ajar rngkau ini. Berani-berani mengganggu puteriku, dan dihadapan mataku lagi. Pergi engkau dari sini! tak guna jadi orang soleh."

Dengan tenang orang soleh itu menegur raja : "Tenang dan sabarlah wahai raja. Saya mempunyai Tuhan yang Maha Pengampun, Dialah yang menciptakan saya. Namun Dia tidak marah begitu rupa sekalipun berpuluh kali saya berbuat dosa. Dan tidak pernah menghalauku dari bumi-Nya. Bahkan rezekiku tidak disekat walaupun bersalah. Cuba raja fikir apakah saya sudah bersalah, sehingga raja menghalau saya? Apa salah saya? Sayakan baru bekata 'umpamanya'. Kalau begitu, mustahil bagi saya untuk tinggal bersama dengan raja yang pemarah seperti engkau."

Lepas berkata demikian, lelaki soleh itu pergi meninggalkan raja dalam keadaan terpinga-pinga

Tuesday, June 22, 2010

Mukjizat Nabi Palsu

Satu peristiwa lucu yang menyakitkan hati manusia pernah terjadi di zaman Khalifah Al-Makmun dari Daulat Bani Abbasiyah. Ceritanya begini. Seorang lelaki telah mengaku dirinya sebagai Nabi. Maka gemparlah umat Islam ketika itu. Apabila berita itu sampai kepada Al-Makmun, dia sangat murka dan memerintahkan agar lelaki itu diheret ke istana untuk disiasat.

"Wahai lelaki! Benarkah engkau telah mendakwa dirimu sebagai Nabi?' tanya Al-Makmun sebaik saja lelaki itu ada di hadapannya.

"Benar, saya memang Nabi Musa." jawab lelaki itu.

"Nabi Musa?" tanya Al-Makmun.

"Ya, saya Nabi Musa."

Al-Makmun bertambah marah, apabila lelaki itu semakin tegas mempermainkannya. "OK. Nabi Musa mempunyai banyak mukjizat yang sangat menakjubkan. Antaranya, kalau tangannya dimasukkan ke dalam bajunya lalu dikeluarkan, akan terpancarlah sinar yang sangat terang benderang. Apakah engkau boleh berbuat demikian?" soal Al-Makmun.

"Memang benar itu, tapi bila waktunya? Bukankah mukjizat itu terjadi pada waktu berhadapan dengan raja Firaun yang derhaka? Sekarang kalau Khalifah ingin tahu buktinya, sila Khalifah bertingkah laku seperti raja Firaun. Nanti akan saya tunjukkan mukjizat seperti yang ditunjukkan kepada Firaun pada zaman dahulu." jawab lelaki itu.

Khalifah dan orang-orang yang hadir di situ menjadi tercengang dan kesal.

"Sudah..sudah...!" Engkau ini buang masa saja." kata Al-Makmun marah.

Monday, June 14, 2010

Bermandi Abu

Pada suatu hari seorang tuan guru yang soleh bernama Abu Usman Al-Hairi berjalan-jalan bersama beberapa orang muridnya sehingga sampai dekat rumah bertingkat. Tiba-tiba tuan rumah itu membuang sebakul abu dari atas dan menghempap tuan guru Al-Hairi. Maka badan tuan guru itu berlumuran dengan abu, dari kepala hingga ke badannya nampak hitam.

Murid-muridnya sangat marah dan menganggap si tuan rumah telah cuai kerana membuang abu tanpa melihat terlebih dahulu. Mereka ingin naik untuk memberikan pengajaraan kepada tuan rumah, tapi Al-Hairi melarangnya dan mengajak murid-muridnya bersyukur kepada Allah atas kejadian yang berlaku.




"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku ini orang berdosa dan patut api yang bernyala-nyala menghempap diriku. Akan tetapi Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang terhadap diriku. Sehingga api yang menimpa diriku ini telah sejuk dan menjadi abu." kata tuan Al-Hairi