Wednesday, April 28, 2010

Bandar Mati

Dalam suatu perjalanan melintasi hutan belantara, Ibrahim bin Adham terserempak dengan seorang askar yang sedang tersesat jalan.

"Tuan, boleh tunjukkan saya jalan ke bandar?" tanya askar itu kepada Ibrahim.

"Boleh." jawab Ibrahim sambil menunjukkan suatu arah kepada si askar. Lalu askar tersebut mengikuti arah yang ditunjukkan Ibrahim. Setelah lama berjalan, ternyata yang ditemui ialah tanah perkuburan dan bukannya bandar.

"Kurang ajar orang itu." bisik askar tersebut dalam hatinya. Dia terus berbalik ke belakang dan mengejar Ibrahim bin Adham yang masih berada tidak jauh dari situ. Setelah memintasnya, askar tersebut memegang leher Ibrahim dan dipukulnya sehingga mencederakan kepada Ibrahim.

"Kamu bohong. Saya tanya bandar, tapi kamu tunjukkan kubur." kata askar itu sambil mengikat Ibrahim lalu diheretnya sampai ke bandar sebenar.

"Wahai askar! Itu Sultan Ibrahim, mengapa engkau heret sedemikian rupa?" tanya orang yang melihatnya.

"Dia menujukkan jalan yang salah padaku. Aku tanya bandar dia tunjukan tanah perkuburan." kata askar tersebut.

"Bandar ialah kawasan yang ramai penduduknya dan semakin bertambah. Penduduk tanah perkuburan itu bertambah dari hari ke sehari, tapi penduduk bandar sendiri berkurangan jika ada orang yang mati." kata Ibrahim membela diri.

"Bukankah tanah perkuburan itu merupakan sebuah bandar yang sedang berkembang?" kata Ibrahim lagi.

Si askar terperanjat, lalu digosok-gosok matanya. Ternyata orang yang diseksanya itu memang Ibrahim bin Adham si wali Allah. Ketika itu juga dia menundukkan badannya dan meminta maaf diatas perbuatan gelojohnya itu. Ibrahim tidak marah, malah sebaliknya dia sangat berterima kasih kepada si askar yang telah membelasahnya.

"Lantaran engkau telah mengasari diriku, aku telah dijadikan penghuni syurga. Oleh kerana itu aku berdoa kepada Allah supaya engkau juga dijadikan sebagai penghuni syurga kerana telah berjasa kepada diriku." kata Ibrahim

No comments: