Monday, July 12, 2010

Menguji Calon Suami (1)

Tersebutlah kisah seorang wanita cantik bernama Mawiyah binti Azfar yang hidup di tanah Arab. Selain cantik, Mawiyah juga terkenal sebagai gadis yang cerdas akalnya dan dari keturunan bangsawan. Ramai lelaki yang datang meminangnya, namun Mawiyah tidak mahu memilih calon suaminya sebelum menguji kecerdasan dan latar belakangnya terlebih dahulu.

Suatu ketika, tiga lelaki dari keturunan bangsawan dan hartawan datang meminangnya. Mereka itu adalah Hatim At-Ta'i, An-Nabighah dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai lelaki dari suku Nabit. Kepada ketiga-tiga lelaki itu, Mawiyah menyuruh mereka pulang dan membuat syair tentang keagungan diri masing-masing. Setelah itu barulah datang lagi untuk membacakan syair-syairnya. Maka ketiga-tiga lelaki itu pun pulang untuk menciptakan syair yang paling baik sambil menyembelih unta sebagai kesyukuran.

Mawiyah yang cerdik akalnya itu memakai pakaian hodoh seperti orang tua lalu keluar menuju rumah ketiga-tiga lelaki yang meminangnya dengan menyamar sebagai pengemis.

Mula-mula dia datang ke rumah lelaki dari suku Nabit untuk mengemis. Tiada sesiapapun yang menyedari akan perkara itu.

"Tuan berilah saya sedikit makanan untuk mengalas perut " kata Mawiyah ketka sampai di rumah lelaki Nabit.

Lelaki Nabit lalu memanggil hadamnya dan menyuruhnya agar pengemis itu diberi sedikit tulang-tulang unta sembelihan. Mawiyah menerima pemberian itu dengan suka hati dan mengucapkan terima kasih.

Kemudian dia pergi pula ke rumah Nabighah sambil meminta sedekah.

"Tuan berilah saya sedikit makanan."kata Mawiyah

"Siapa kamu?" tanya Nabighah.

"Saya seorang fakir yang tidak punya apa-apa."

No comments: