Monday, November 15, 2010

Menghantuk Dinding

Seorang murid yang sedang belajar di bawah bimbingan Junid Al-Bagdadi telah melakukan suatu kesalahan kecil, lalu melarikan diri dari pondoknya dan tidak kembali lagi kerana malu. Pada suatu hari, Junid sedang berjalan-jalan di pasar bersama beberapa orang temannya, tiba-tiba beliau ternampak muridnya yang melarikan diri. Si murid merasa malu, lalu lari dengan menundukkan kepalanya.

"Seekor burung kita telah terlepas dari sangkar." kata Junid merujuk pada si murid.

Lalu beliau dan teman-temannya mengejar murid itu untuk menangkapnya. Si murid terus lari dengan menunduk-nunduk. Apabila dia cuba melihat kebelakang, ternyata tuan gurunya terus mengejarnya. Maka dia pun mempercepatkan langkahnya, dan tanpa disedarinya dia telah masuk pada sebuah jalan mati. Dia terkejut dan bingung, kerana ada dinding tembok yang tidak boleh dipanjat telah tersergam di hadapannya. Sedang Junid terus mengekorinya. Kerana malu, si murid tidak mahu berpatah balik atau memalingkan mukanya. Malah dia terus merapatkan mukanya pada tembok.

"Tuan guru mahu apa buat di sini?" kata murid itu kehabisan akal.

"Jika ada seseorang menghantuk tembok dengan mukanya disebabkan tidak dapat berjalan, tentulah tuan guru akan menolongnya." jawab Junid.

Lalu murid itu dibawa pulang ke pondoknya dan bertaubat.

No comments: