Sunday, November 14, 2010

Rumah Persinggahan

Para menteri kerajaan Balakh telah hadir di tempat persidangan di dalam istana. Sultan Ibrahim bin Adham yang memerintah Balakh juga telah hadir di tengah-tengah jemaah menteri dan orang-orang besar kerajaan lainnya. Beliau duduk di atas kerusi kebesarannya.

Tiba-tiba muncul seorang lelaki bertubuh segak di dalam ruangan sidang. Tidak seorang pun yang mengenalinya dan tidak seorang pun yang mahu menanyakannya. Dia terus meluru ke hadapan raja. Melihat lelaki yang tidak sopan santun itu, Ibrahim agak marah dan kecewa.

"Hai saudara! Engkau ini siapa dan apa urusanmu datang ke sini, hah?" tanya Sultan Ibrahim.

"Saya ini orang musafir dan baru saja sampai di rumah persinggahan ini." jawab lelaki itu.

"Engkau ini mengada-ngada. Ini bukan rumah persinggahan musafir. Ini adalah istanaku, tahu. Engkau sudah gilakah?" bentak Ibrahim.

"Siapa yang mendiami istana ini sebelum kamu?" tanya lelaki.

"Bapakku." jawab Ibrahim.

"Sebelum didiami oleh bapakmu?"

"Didiami oleh datukku." jawab Ibrahim.

"Sebelum didiami oleh datukmu?"

"Ia didiami oleh bapak kepada datukku."

"Sebelum bapak kepada datukmu?"

"Bapak kepada bapak datukkulah."

"Ke mana mereka semua sekarang?"

"Semuanya telah pergi kerana telah mati."

"Jadi tempat ini pada mulanya didiami oleh seseorang, kemudian ditinggalkan pergi. Lalu datang lagi orang menghuninya, lepas itu dia akan pergi lagi. Kemudian datang lagi dan pergi lagi. Kalau begitu, bukankah ini rumah persinggahan namanya?"

Setelah berkata demikian, lelaki itu hilang. Barulah Sultan Ibrahim sedar bahawa sebetulnya lelaki misteri tersebut sengaja datang untuk mengujinya, apa makna sebenar dari kehidupan ini.